KOTA BHARU: Polis menahan dua lelaki dan merampas pelbagai alatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pecah rumah termasuk pistol angin di Rantau Panjang pada Isnin.
Kedua-dua suspek berusia 33 dan 39 tahun itu ditahan ketika menaiki sebuah kereta jenis Subaru semasa melalui sekatan jalan raya di Chabang Empat Salam pada pukul 11.30 malam.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sejurus ditahan anggota bertugas kemudian melakukan pemeriksaan ke atas beng yang dipakai oleh salah seorang suspek membawa kepada penemuan dadah disyaki ecstasy.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut di belakang but kereta telah menjumpai pelbagai jenis barangan kemas, telefon bimbit, sebilah pedang dan pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk tujuan pecah rumah.
“Kita turut menjumpai sepucuk pistol angin beserta kelopak di bahagian bawah tempat duduk pemandu.
“Siasatan awal mendapati suspek yang berusia 39 tahun itu mengakui barang yang dirampas adalah miliknya dan digunakan untuk tujuan pecah rumah,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, suspek juga mengaku telefon bimbit, laptop dan barang kemas serta perhiasan yang ditemukan itu adalah hasil pecah rumah.
Katanya, bagaimanapun tiada pengakuan yang dibuat oleh suspek di kawasan mana pecah rumah di lakukan setakat ini.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif methamphetamine. Suspek berusia 39 tahun didapati mempunyai 15 rekod jenayah, tiga dadah manakala rakannya satu rekod jenayah serta empat dadah.
“Suspek terbabit memberitahu rakannya yang berusia 33 tahun itu hanya mengikutinya untuk ke Golok, Thailand dan tidak mengetahui berkenaan dengan barang kes yang dirampas,” ujarnya.
Muhamad Zaki berkata, kedua-dua suspek direman selama selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.-UTUSAN











