JOHOR BAHRU: Dua lelaki, masing-masing didenda RM500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini atas tuduhan melakukan kekecohan dan bergaduh sehingga mengganggu ketenteraman awam di sebuah restoran di Taman Impian Emas, Skudai, minggu lalu.
Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin membuat keputusan itu selepas tertuduh, S. Lohes, 38, dan K. Sivanathan, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa melakukan kekecohan dan bergaduh sehingga mengganggu ketenteraman awam bersama-sama empat individu yang masih bebas di sebuah restoran di Jalan Impian Emas, Taman Impian Emas, pada pukul 11.50 malam, 26 Januari lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau dengan denda sehingga RM1,000 atau dengan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqillah Ahmad Rofaie, manakala Sivanathan diwakili Amarpreet Singh Rajwinder Singh dan Lohes tidak diwakili peguam bela.
Terdahulu, Amarpreet dalam rayuannya mengatakan anak guamnya yang juga seorang peniaga menghidap penyakit pundi hempedu sudah insaf dan tidak akan mengulangi perbuatannya, manakala Lohes merayu hukuman yang lebih rendah memandangkan mempunyai tanggungan tiga orang anak.
Minggu lalu, tular video berdurasi 45 saat dalam media sosial yang memaparkan tentang insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang menyerang beberapa individu di sebuah kedai makan.
Dalam video itu, kelihatan beberapa lelaki bersenjatakan parang menetak individu di dalam kedai makan itu sebelum meninggalkan premis tersebut.
Susulan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh dilaporkan berkata, pihaknya berjaya menahan dua suspek di Jalan Putih, Skudai dan di kawasan Masai, 28 Januari lalu. – UTUSAN










