Dadah: Pasangan kekasih diperintah bela diri - Utusan Malaysia

Dadah: Pasangan kekasih diperintah bela diri

PASANGAN kekasih, Teng Wei Xiong dan Chai Ying diperintahkan membela diri atas tiga pertuduhan mengedar dan memiliki dadah oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi, di sini hari ini memerintahkan pasangan kekasih membela diri atas tiga pertuduhan termasuk mengedar dadah di Johor Bahru, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Noor Hayati Mat membuat keputusan itu selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Teng Wei Xiong, 25, dan Chai Ying, 21.

Bagi pertuduhan pertama, Wei Xiong dan Chai Ying didakwa mengedar 112 gram (g) dadah, manakala dua lagi pertuduhan memiliki 136.68g dadahdi sebuah bilik di Jalan Rusa 3, di sini pada pukul 9 malam, 5 Mei 2020.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung sampai mati.

Bagi kesalahan memiliki dadah, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau seumur hidup serta sebatan 10 kali.

Bagi Seksyen 39A (1) pula, pasangan kekasih itu boleh dipenjara maksimum lima tahun dengan sebatan minimum tiga kali atau maksimum sembilan kali, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Norliza Abdullah, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Daud Ismail.

Mahkamah menetapkan 20 dan 21 Mei depan sebagai tarikh untuk pasangan tersebut membela diri.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN