Bunuh tunang: Banduan akhir terlepas tali gantung, dijel 33 tahun - Utusan Malaysia

Bunuh tunang: Banduan akhir terlepas tali gantung, dijel 33 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang banduan akhir terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikannya dengan hukuman penjara 33 tahun dan dikenakan 12 sebatan kerana membunuh tunangnya yang mati terbakar akibat disimbah petrol, hampir tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Zabariah Mohd. Yusof mengetepikan hukuman gantung yang diputuskan terhadap Mohamed Hafiz Mohd. Bakri, 36, selepas membenarkan rayuan akhirnya terhadap hukuman.

Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim-Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Mohamed Hafiz disabitkan membunuh Nina Farrina Simbul, 21, pada pukul 4.30 petang, 21 April 2017 di sebuah rumah di Taman Sri Bahagia, Tampoi, Johor Bahru, Johor.

Perayu yang sewaktu kejadian berusia 29 tahun didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang ketika itu memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mohamed Hafiz didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 5 Oktober 2020 dan keputusan itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober 2021.

Terdahulu, peguam Muhammad Abd. Kadir yang mewakili perayu memaklumkan, pihaknya menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi pengecualian hukuman mati selaras dengan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Amril Johari dan memohon agar perayu dikenakan hukuman penjara 35 tahun berdasarkan cara kematian mangsa adalah akibat dibakar.

Bagaimanapun, Muhammad yang mengemukakan rayuan terhadap hukuman memohon pemenjaraan minimum atas alasan kejadian itu bukan dirancang meskipun ada keterangan berhubung pembelian petrol.

API

“Petrol itu dibeli untuk tujuan lain serta kuantitinya sedikit dan hanya bernilai RM2. Perayu cuba memadamkan api dengan mencurahnya dengan air namun tidak berjaya sebelum menghantar wanita itu ke hospital.

“Anak guam menyesal dengan perbuatannya dan berharap segera keluar dari penjara,” hujah Mohamad.

Peguam bela menghujahkan, anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah dan telah menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun sejak tarikh tangkapan pada 21 April 2017.

Keterangan kes antara lain menyatakan, seorang saksi pendakwaan yang merupakan anak saudara perayu memberi keterangan bahawa Mohamed Hafiz memintanya membeli petrol dan menyuruhnya meletak botol petrol itu di dalam bilik.

Ketika berada di dapur, saksi itu mendengar perayu dan tunangnya bertengkar di ruang tamu namun lelaki itu mengarahnya masuk bilik dan tidak mencampuri urusan mereka.

Saksi tersebut bagaimanapun mengintai di sebalik tirai dan melihat perayu menyimbah petrol ke badan tunangnya sebelum melihat api menyala sejurus selepas itu.

Saksi berkenaan kemudian bergegas keluar melalui tingkap dan tidak melihat siapa yang menyalakan api sehingga menyebabkan wanita itu terbakar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN