Bekas VC UPSI bebas hukuman dan sabitan salah guna kuasa - Utusan Malaysia

Bekas VC UPSI bebas hukuman dan sabitan salah guna kuasa

ZAKARIA Kasa (berkerusi roda) dikelilingi para peguamnya selepas Mahkamah Rayuan membebaskannya daripada sabitan dan hukuman kerana salah guna kuasa. UTUSAN/IHSAN PEGUAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr. Zakaria Kasa dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan salah guna kuasa iaitu memasukkan nama anak lelakinya untuk ditemuduga di universiti berkenaan, 10 tahun lalu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM10,000 yang diputuskan Mahkamah Tinggi Ipoh terhadap Zakaria, 67, selepas membenarkan rayuan akhirnya.

Hakim Hadhariah dalam keputusan sebulat suara berkata, mahkamah mendapati keterangan yang dikemukakan tidak memenuhi intipati pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Perayu (Zakaria) dikatakan memasukkan nama saksi pendakwaan kesembilan (SP9), Mohd. Fauzi Zakaria (anak perayu) untuk dipanggil temuduga.

“Namun ia berbeza dengan keterangan saksi pendakwaan keempat (pembantu tadbir UPSI) dan saksi pendakwaan kelima (pegawai tadbir UPSI) yang menyatakan SP9 ada membuat permohonan secara dalam talian dan beliau layak untuk menghadiri temuduga.

“SP4 dan SP5 juga menyatakan mereka tidak dipengaruhi oleh perayu untuk membuat keputusan mengangkat nama SP9 untuk hadir temuduga.

“Berdasarkan keterangan SP4 dan SP5, kami mendapati sabitan ke atas perayu tidak selamat, oleh itu sabitan dan hukuman oleh hakim Mahkamah Tinggi diketepikan dan perayu dilepas dan dibebaskan,” katanya yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.

Selepas keputusan itu, ahli keluarga Zakaria yang berada di galeri awam menangis sambil mengucapkan ‘Alhamdulillah’. Perayu hadir berkerusi roda.

Mengiku pertuduhan, Zakaria didakwa sebagai Naib Canselor UPSI telah menggunakan jawatannya berhubung perkara yang beliau mempunyai kepentingan, apabila mengarah Mohd. Faizi Othman iaitu pendaftar UPSI, untuk memasukkan nama anak lelakinya, Mohd Fauzi untuk dipanggil temuduga pada 12 September 2014.

Kesalahan itu dilakukan di bilik Naib Canselor, Pejabat Naib Canselor, Bangunan Canselor, UPSI, Tanjung Malim antara pukul 9 pagi dan 12 tengah hari pada 24 Jun dan 12 September 2014.

Dia dituduh mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Pada 3 Disember 2019, Mahkamah Sesyen Ipoh melepas dan membebaskan Zakaria daripada pertuduhan  itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Pihak pendakwaan kemudian mengemukakan rayuan untuk mengetepikan keputusan tersebut dan Mahkamah Tinggi Ipoh dan pada 2 Jun 2023 membenarkan rayuan itu dan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan serta denda RM10,000 ke atas Zakaria.

Prosiding hari ini, pasukan pembelaan terdiri daripada peguam-peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, Shahidah Muslimah Roslan, Hasshahari Johari Mawi, Mohd. Radzlan Jalaludin, Muhamad Hafizan Shafuan Kamarulzaman manakala Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim dan Maziyah Mansor mewakili pihak pendakwaan.

Terdahulu, Awang Armadajaya dalam hujahannya berkata, saksi pendakwaan pertama (pendaftar UPSI) adalah saksi yang tidak kredibel kerana keterangannya bercanggah dengan keterangan saksi pendakwaan keempat dan kelima.

“SP1 (saksi pendakwaan pertama) menyatakan anak perayu tidak membuat permohonan untuk menghadiri temuduga menerusi atas talian, sedangkan SP4 dan SP5 yang membuat pemeriksaan senarai nama temuduga, menyatakan nama anak perayu ada dalam senarai tersebut,” katanya.

Menurut peguam itu, arahan anak guamnya kepada pendaftar UPSI berkenaan iaitu ‘tolong tengok-tengokkan’ merupakan arahan yang tidak terjumlah kepada suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Atiqah berkata nama anak perayu dimasukkan dalam senarai temuduga adalah atas permintaan perayu, walhal perayu dan SP1 mengetahui anak perayu tidak melepasi tapisan awal dan tidak layak untuk dipanggil temuduga.

“Apabila perayu meminta SP1 untuk `tengok-tengokkan’ nama-nama yang diberikan perayu kepada beliau (SP1), adalah secara tidak langsung perayu meminta SP1 untuk memasukkan nama-nama yang diberikan termasuk nama anaknya di dalam senarai temuduga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN