Bekas pengarah syarikat beras didakwa kemuka tuntutan palsu RM8.9 juta - Utusan Malaysia

Bekas pengarah syarikat beras didakwa kemuka tuntutan palsu RM8.9 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah sebuah syarikat beras mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 28 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berhubung pembiayaan pembelian beras kepada sebuah bank berjumlah lebih RM8.9 juta, lima tahun lalu.

Fikri Abu Bakar, 58, yang juga Pengarah Fikri Rice Sdn. Bhd. (ketika itu) meminta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut 28 pertuduhan itu, Fikri didakwa memberikan 28 invois palsu kepada bank itu yang kesemuanya berjumlah RM8.9 juta, bagi menuntut kemudahan pembiayaan Trade Working Capital Financing Islamic (TWCF-i) untuk pembiayaan pembelian beras.

Invois itu didakwa diberikan melalui eksekutif operasi syarikat berkenaan sedangkan tiada pembelian beras dibuat oleh syarikat tersebut.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Wisma Maran di sini antara 18 November 2019 dan 16 Januari 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda daripada nilai terlibat, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Fikri yang juga anak pengasas syarikat beras terkemuka turut berdepan 28 pertuduhan pilihan, iaitu didakwa menggunakan 28 invois palsu membabitkan jumlah serupa (RM8.9 juta) pada tempat dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan pilihan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohammad Fadhly Mohd. Zamry tidak menawarkan jaminan dengan alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin.

“Jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan, pendakwaan mencadangkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin bagi 28 pertuduhan.

Pendakwaan turut memohon syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM, Putrajaya dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah selain tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai,” katanya.

Peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga dan merupakan pesakit diabetes.

Ujarnya, anak guam baharu keluar dari hospital semalam kerana terdapat jangkitan tulang di ibu jari kaki malah juga tidak mempunyai kewangan stabil dan tidak mampu membayar jumlah jaminan yang dicadangkan pendakwaan.

Oleh itu, pihak pembelaan memohon jaminan RM50,000 selain tidak membantah syarat-syarat tambahan ditetapkan pendakwaan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan dan menetapkan 25 Mac ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN