MELAKA: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman empat tahun penjara kepada seorang lelaki atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya.
Hakim Azaraorni Abd. Rahman memutuskan sedemikian selepas tertuduh berusia 27 tahun itu membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia empat tahun antara pukul 8 pagi sehingga 9.30 pagi di sebuah rumah di Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah, pada 31 Januari 2024.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 26 dan 27 akta sama yang boleh dipenjara maksimum selama 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, perbuatan terbongkar selepas mangsa mengadu kepada ibunya mengenai rasa sakit pada bahagian alat sulit dan sukar untuk membuang air kecil.
Kanak-kanak itu kemudian memberitahu tertuduh ada menyentuh bahagian berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom memohon tertuduh dikenakan hukuman penjara dan sebatan setimpal.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan telah insaf dan menyesali perbuatannya.
Mahkamah menjatuhkan empat tahun penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 2 Februari 2024 dan dikenakan satu sebatan.










