LIPIS: Malim gunung Kampung Merapoh menceritakan detik terakhir sebelum pemergian pendaki wanita, Zahalita Othman, 52, yang meninggal dunia akibat sesak nafas di Gunung Reskit, Kuala Tahan, Jerantut, kira-kira pukul 7.30 pagi, 6 Februari lalu.
Malim gunung terbabit, Nazaruddin Samat, 54, berkata, selepas solat Subuh, Zahalita keluar seketika membersihkan diri sebelum masuk semula ke khemahnya dan ketika itu dia terdengar arwah seperti sesak nafas.
“Mendengar situasi itu, rakan pendaki wanita yang dikenali sebagai Anas, kemudiannya datang membantu menyapu ubat pada arwah.
“Arwah Zahalita sempat minum segelas air sebelum terus berbaring. Tidak lama kemudian Anas memberitahu saya yang arwah Zahalita telah pengsan,” katanya di Merapoh di sini semalam.
Menceritakan saat cemas itu, Nazaruddin yang baharu sahaja turun dari Gunung Tahan melalui Kem Sungai Relau, Merapoh semalam berkata, dia terus mendekati arwah dan memegang (merasa) tangannya, tetapi masih panas.
Katanya, melihat keadaan arwah yang pengsan, dia berbincang dengan Anas dan seorang lagi pendaki lelaki yang dikenali Hafiz bahawa mereka perlu bertindak segera meminta bantuan dengan pendaki lain.
“Saya dan Hafiz pun segera bergerak ke Kem Gedung terletak berdekatan untuk meminta bantuan daripada kumpulan yang berada di hadapan, manakala Anas pula menunggu arwah di Gunung Reskit.
“Dalam kumpulan kami yang terdiri seramai 10 orang termasuk tiga wanita telah berpecah kepada dua kumpulan, enam orang pendaki telah bergerak menuju ke Kem Gedung, manakala saya bersama Zahalita, Anas dan Hafiz berada di kumpulan kedua,” katanya.
Mengutamakan keselamatan Zahalita ketika berdepan situasi kritikal di puncak tersebut, Nazaruddin yang lebih 15 tahun bekerja sebagai malim gunung menjelaskan dia dan Hafiz perlu meminta bantuan segera daripada pendaki yang sudah menghampiri Gunung Gedung.
“Bagaimanapun, sewaktu mendaki menuju ke Kem Gedung, saya berasa tidak sedap hati memikirkan keselamatan Zahalita lalu terus meminta Hafiz meneruskan perjalanan meminta bantuan rakan pendaki di situ dan saya sendiri berpatah balik ke Gunung Reskit,” katanya.
Menurutnya, ketika sampai semula di Gunung Reskit, dia melihat Anas menangis di sisi Zahalita dan memaklumkan rakan baiknya sudah meninggal dunia.
“Saya terus memeriksa nadi arwah, namun gagal mengesan sebarang denyutan dan sekali lagi meminta bantuan dua rakan pendaki lain melakukan perkara yang sama, tetapi jelas dia (Zahalita) sudah tidak bernafas lagi,” katanya. – UTUSAN










