Anjing cedera dipukul jiran, pemilik didenda RM15,000 - Utusan Malaysia

Anjing cedera dipukul jiran, pemilik didenda RM15,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik anjing didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini kerana gagal mengambil langkah munasabah terhadap haiwan peliharaan sehingga cedera di bahagian ekor akibat dipukul jiran.

Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob menjatuhkan denda itu terhadap Yee Chan Fai, 37, selaku orang kena saman (OKS) selepas mekanik itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.

Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda dan lelaki tersebut menjelaskannya.

Terdahulu sebelum hukuman dijatuhkan, Wan Mohd. Norisham berkata, OKS sepatutnya mengawal dan mengikat anjing dalam pagar rumah supaya ia tidak mencederakan orang awam.

ANJING

“Haiwan ini tidak boleh bercakap, kamu seharusnya tidak mengabaikan anjing itu dan membiarkan pagar terbuka sehingga ia mengejar dan mencederakan orang lain.

“Dalam kes ini, pengadu yang juga mangsa mengalami kecederaan dan alami kerugian kerana perlu membayar denda (kerana memukul haiwan itu), (sedangkan) anjing itu yang mencederakannya kerana sifat cuai kamu,” kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan, Chan Fai didakwa gagal mengambil langkah munasabah untuk memastikan keperluan haiwan itu dipenuhi sehingga menyebabkan kecederaan kepada individu lain, di sebuah rumah di Taman Saga di sini pukul 8.30 pagi pada 24 Mei 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 24 (1)(a)(v) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(3) akta sama yang membawa hukuman denda minimum RM15,000 dan tidak lebih RM75,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu semasa prosiding, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Mohd. Sharif Sabran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap OKS dengan mengambil kira faktor keselamatan orang awam dan pengajaran kepada pemilik anjing yang lain.

“Pengadu (mangsa) sebelum ini telah didenda RM23,000 kerana memukul anjing itu, tidak termasuk kos guaman dan kos perubatan yang perlu ditanggungnya. Mohon mahkamah turut mengambil kira faktor ini,” katanya.

Sementara itu, peguam, Wan Nur Afifah Che Bakar yang mewakili OKS, merayu anak guamnya dikenakan hukuman denda ringan atas alasan anak guamnya menanggung ibu bapa, kakak serta dua anak berusia enam dan lapan tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN