‘Anggota pentadbiran datang dan pergi, yang tinggal penjawat awam’ - Cuepacs - Utusan Malaysia

‘Anggota pentadbiran datang dan pergi, yang tinggal penjawat awam’ – Cuepacs

ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan penamatan perkhidmatan Datuk Dr Ammar Abd Ghapar sebagai Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) menimbulkan suasana tidak harmoni antara anggota pentadbiran dan penjawat awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, notis penamatan dikeluarkan pada Khamis lalu dan berkuat kuasa pada 26 Februari ini dilihat terlalu singkat selain  mengejutkan sehingga  sedang  menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pihak berkepentingan terutama penggiat industri tempatan.

“Bagaimana boleh wujud keharmonian jika isu kebersamaan ini sering kali dipertingkatkan oleh kedua-dua pihak. 

“Anggota pentadbiran datang dan pergi, yang tinggal adalah penjawat awam. Maka pengalaman penjawat awam dan pendekatan yang hendak dibawa anggota pentadbiran silih berganti perlu digabung sebaik mungkin bagi menghasilkan kualiti perkhidmatan awam terbaik dalam memberikan khidmat bakti kepada negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, perkhidmatan Ammar ditamatkan menerusi satu surat pemberhentian bertarikh 22 Februari yang ditandatangani Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing.

Menurut surat itu, penamatan perkhidmatan Ammar adalah di bawah Subseksyen 10 (1) Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481), dibaca bersama Seksyen 47 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388).

Mengulas lanjut Adnan berkata, keadaan itu dapat dielakkan jika kedua-dua pihak mengambil pendekatan yang berhikmah bagi mencapai solusi yang terbaik. 

“Kita faham sebagai seorang menteri beliau ada  kuasa tetapi adakah tindakan penamatan itu dilihat jalan yang terbaik dalam merungkai isu yang dihadapi?

TERPALIT

“Apatah lagi beliau sering kali kelihatan sebagai seorang figura yang kerap terpalit dengan isu-isu yang berkisar tentang  pelanggaran kepada peraturan yang ada dalam sistem pentadbiran kerajaan semasa,” katanya.

Kata Adnan, Cuepacs berpandangan perlu ada pihak ketiga menjadi penasihat dalam memastikan situasi lebih adil dapat dipraktikan pada masa hadapan sebelum sesuatu keputusan dilaksanakan jika berlaku pelanggaran.

Katanya, perkara itu untuk memastikan ada pihak yang boleh dirujuk sebelum kuasa pemutus digunakan. 

“Jika pengguna boleh pergi ke bahagian tribunal pengguna untuk menyelesaikan permasalahan mereka maka untuk penjawat awam juga ada baiknya jawatankuasa yang bersifat sebagai pihak ketiga diwujudkan. Ia sekali gus dapat menangkis tanggapan yang kurang baik terhadap imej perkhidmatan awam dan kerajaan secara keseluruhannya,” katanya.

Katanya, Cuepacs amat terkesan dengan isu-isu yang berlaku pada masa kini dan berharap tampuk kepimpinan negara dapat mengimbangi keadaan ini supaya tidak menjadi barah yang menikam kalbu jutaan penjawat awam.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN