Anasir jenayah di Julau tidak akan terlepas - Saifuddin

Anasir jenayah di Julau tidak akan terlepas – Saifuddin

Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang akhbar di Briged Tengah Pasukan Gerakan Am, Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebarang kegiatan jenayah termasuk gangsterisme didakwa berleluasa di Julau, Sarawak tidak akan terlepas daripada diambil tindakan.

Itu penegasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika ditanya berhubung kenyataan Ahli Parlimen (MP) Julau, Datuk Larry Sng yang menggesa Bukit Aman bertindak tegas terhadap berleluasanya kegiatan gangsterisme yang menjadikan kawasannya umpama pekan koboi.

Menurutnya, setakat ini beliau telah dimaklumkan sendiri oleh Larry mengenai situasi tersebut. 

“Saya sendiri telah berkongsi kepada Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) malah Ketua Polis Daerah ada mengeluarkan kenyataan terdapat tangkapan berhubung perkara itu. 

“Biar proses (siasatan) itu selesai dibuat oleh pihak sana (polis). 

“Bagaimanapun, dakwaan wujud anasir jenayah itu tidak akan terlepas daripada siasatan polis,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di kuarters Pasukan Gerakan Am di Cheras di sini, hari ini. 

Jelas Saifuddin, beliau percaya pihak polis akan segera mengambil maklum perkara tersebut. 

Media semalam melaporkan, Larry mendakwa kumpulan kongsi gelap itu bukan sahaja mengendalikan perjudian dalam talian di kedua-dua daerah Pakan dan Julau, malah turut terbabit dengan aktiviti menjual dadah, kontraban seperti rokok dan minuman keras serta pinjaman wang haram.

Dakwanya, syabu atau ‘batu’ (merujuk methamphetamine) dijual secara terbuka di bandar Julau untuk menunjukkan bahawa mereka kebal undang-undang.

Beliau juga dimaklumkan beberapa penjawat awam dan ketua rumah panjang (tuai rumah) telah berhutang dan terdesak untuk menjual tanah mereka serta meminjam wang bagi membayar balik kepada samseng yang mengenakan kadar faedah terlalu tinggi.

“Ramai dalam kalangan mereka tidak mampu membayar balik dan sering diancam dengan kekerasan,” tegasnya.

Malah, beliau juga mendakwa terserempak beberapa samseng tempatan yang jelas ingin menimbulkan masalah ketika menziarahi masyarakat Cina di Julau yang menyambut Tahun Baharu Cina, baru-baru ini. 

“Walaupun tidak cedera semasa kejadian, sejak itu saya sedar betapa cepatnya pekan luar bandar yang dahulunya aman damai kini menyerupai ‘Wild Wild West’,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×