SEREMBAN: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan malam ini tampil membuat laporan polis terhadap pempengaruh media sosial dikenali sebagai Dd Chronicle yang didakwa membuat video parodi cenderung mempersenda keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini berkaitan enakmen jenayah syariah.
Laporan itu dibuat oleh Ketua AMK Negeri Sembilan, Mohamad Afif Anuar di Balai Polis Seremban 2 dekat sini kira-kira pukul 8 malam tadi. Beliau turut diiringi kira-kira 20 ahli PKR sebagai tanda sokongan.
Dalam laporan itu, beliau mengadu telah menonton satu video di pautan media sosial oleh Dediy Sulaeman Ra’e atau lebih dikenali sebagai Dd Chronicle, baru-baru ini.
Katanya, beliau mendapati pempengaruh itu telah mempersendakan enakmen jenayah syariah seolah-olah ia telah terbatal walaupun sebenarnya hukuman yang disebut itu masih lagi termaktub dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.
“DD Chronicle menggunakan contoh kes arak, judi dan liwat yang telah terbatal dan rakyat Malaysia boleh melakukan perbuatan tersebut tanpa mendapat apa-apa hukuman.
“Ini jelas mengelirukan, memesongkan fakta serta berniat untuk mempersendakan proses penghakiman yang dilakukan oleh badan perundangan negara,” katanya.
Mohamad Afif berkata, beliau meminta polis menjalankan siasatan ke atas pempengaruh itu mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15), Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi (kandungan menghina) dan Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 559)(menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam).-UTUSAN.










