PETALING JAYA: Seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) peringkat bahagian mendakwa akaun TikTok miliknya disekat sejak semalam.
Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) bahagian Jasin, Na’im Brundage berkata, beliau tidak menerima pesanan melalui aplikasi itu atau emel yang memaklumkan akaun TikToknya disekat.
Oleh itu, menurutnya, beliau juga tidak mengetahui alasan-alasan munasabah untuk pengendali aplikasi itu menyekat akaun TikTok miliknya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menyiasat perkara itu kerana sebarang tindakan susulan seharusnya dikemukakan secara bertulis.
“Saya memang sentiasa mengeluarkan pandangan peribadi yang berunsur politik, tetapi, tidak pastilah jika ada pihak yang merasakan tindakan saya keterlaluan sehingga mengambil tindakan seperti ini.
“Tetapi, saya tidak rasa melanggar garis panduan sebab saya sentiasa berhati-hati dengan segala pandangan diberikan. Setiap kritikan adalah adil. Namun, semua video yang saya muat naik hilang.
“Ini pertama kali berlaku kerana menerusi rekod sebelum ini tidak pernah lagi kena lapor oleh garis panduan komuniti. Kejadian ini berlaku secara tiba-tiba,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Na’im memulakan penglibatan politik dengan menyertai PKR dan pernah menjawat jawatan Ketua Angkatan Anak Muda Keadilan Wilayah Persekutuan.
Beliau meninggalkan PKR semasa Langkah Sheraton bagi menyertai PBM dan menyokong kepimpinan bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Na’im dilantik sebagai Ketua Pemuda PBM pada 8 Januari 2022. Bagaimanapun, pada Disember 2022, beliau bersama 12 ahli PBM lain dipecat daripada parti susulan krisis dalaman dengan Presiden, Datuk Larry Sng Wei Shien. – UTUSAN











