JOHOR BAHRU: “Saya selaku Ketua Polis Johor sudah beritahu, jika ada segelintir yang terlibat (salah laku), hala tuju pasukan adalah untuk pastikan segelintir yang merosakkan susu sebelanga ini disingkirkan daripada pasukan.”
Demikian tegas Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pegawai atau anggotanya yang terlibat dalam kes jenayah, salah laku atau rasuah.
Menurutnya, kes pemerasan wang tunai berjumlah RM35,000 membabitkan seorang inspektor dan tujuh anggota polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, pada akhir bulan lalu juga tidak terkecuali.
Katanya, tindakan tatatertib terhadap kesemua mereka akan diputuskan selepas siasatan dilengkapkan setelah tahanan reman berakhir esok.
“Amanat Tan Sri Ketua Polis Negara (KPN) baru-baru ini juga amat jelas bahawa polis tidak akan berkompromi (isu salah laku). Kita tiada kompromi dalam isu integriti, salah laku jenayah dan rasuah, saya akan pastikan tindakan tegas diambil terhadap pegawai dan anggota yang terlibat,” katanya selepas melancarkan Op Selamat Ke-21 sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Kempas, di sini hari ini.
Terdahulu, seorang tukang cuci wanita berusia 41 tahun membuat laporan polis mendakwa bahawa seorang anggota polis meminta wang RM40,000 bagi membebaskan adiknya yang ditahan berkaitan kes dadah.
Pengadu dikatakan hadir ke IPD Seri Alam dan menyerahkan wang berjumlah RM35,000 kepada anggota polis berkenaan, namun mendakwa adiknya masih tidak dibebaskan hingga kini.
Susulan itu, enam lelaki dan dua wanita yang juga pegawai serta anggota polis IPD Seri Alam ditahan kira-kira pukul 2 pagi kelmarin untuk siasatan lanjut.
Kumar memberitahu, kesemua pegawai dan anggota berusia antara 20 hingga 50 tahun itu masih ditahan reman hingga esok bagi membolehkan siasatan lanjut di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
“Setakat ini hanya siasatan yang akan tentukan suspek terbabit atau tidak dan kita juga sedang siasat sama ada mereka ini pernah ada rekod disiplin dalam pasukan. Kita akan serahkan kertas siasatan nanti kepada pihak pendakwa raya untuk arahan seterusnya dan selepas itu baharu keputusan boleh dibuat,” katanya. – UTUSAN










