KUALA LUMPUR: Enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang beralih sokongan kepada kerajaan tidak berdepan sebarang implikasi selepas parti itu meminda perlembagaannya, 2 Mac ini.
Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pindaan perlembagaan parti bagi tujuan menghalang tindakan khianat dalam kalangan wakil rakyatnya tidak memberi kesan retrospektif atau kesan terkebelakang terhadap mereka.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, halangan tersebut bakal terpakai terhadap mana-mana wakil rakyatnya selepas ini yang berniat menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sepatutnya tidak ada kesan retrospektif. Itu tidak boleh ada. Undang-undang tidak adil kalau ada kesan restrospektif kepada mereka. Yang saya difahamkan tidak ada (kesan retrospektif).
“Apa pun, kita tengok macam mana Perhimpunan Agung Khas Bersatu, Sabtu ini. Tetapi, individu yang sesuai untuk bercakap perkara ini ialah Timbalan Presiden parti sebab beliau yang bertanggungjawab dalam urusan pindaan perlembagaan kali ini.
“Antara pindaan akan dilakukan berkenaan ahli Parlimen yang telah memberi sokongan kepada Perdana Menteri. Kita tengok nanti macam mana keputusannya,” katanya kepada pemberita di Pusat Media Parlimen, hari ini.
Enam ahli Parimen Bersatu yang menyokong Anwar ialah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Terdahulu hari ini, Syed Abu Hussin dan Mohd. Azizi menyatakan sedia mengosongkan kerusi masing-masing jika pindaan perlembagaan parti itu bakal melarang mereka memberi sokongan kepada pihak ketiga, mengambil kira jika pindaan perlembagaan parti nanti akan mendatangkan kesan retrospektif.
Pada 16 Februari lalu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris mendakwa ‘riwayat’ enam ahli Parlimen berkenaan bakal tamat menerusi pindaan perlembagaan parti pada Perhimpunan Agung Khas yang akan diadakan selama dua jam, pukul 3 petang di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam. – UTUSAN










