KUALA LUMPUR: Seramai 47 saksi akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad yang dijadualkan bermula Mei ini.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh pada sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Prosiding perbicaraan ditetapkan selama 15 hari iaitu pada 27 hingga 29 Mei, 10 hingga 12 Jun, 9 hingga 11 Julai, 22 hingga 24 Julai dan 5 hingga 7 Ogos ini.
“Hari ini (semalam) ditetapkan sebutan kes untuk status pertuduhan (dihadapi Adam Radlan) di bawah pengubahan wang haram untuk dibicarakan bersama dengan pertuduhan predikat (rasuah).
“Pendakwaan memohon kes terlibat dibicarakan bersama kerana berkaitan transaksi yang sama. Saksi pula akan memberi keterangan dengan membaca pernyataan saksi,” kata Farah Yasmin.
Sementara itu, peguam Alaistair Brandah Norman yang mewakili Adam Radlan, 43, tidak membantah agar pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dihadapi anak guamnya dibicarakan bersama.
Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Suzana Hussin kemudian membenarkan semua pertuduhan iaitu lima pertuduhan rasuah dan tujuh pengubahan wang haram Adam Radlan untuk dibicarakan bersama.
“Justeru saya tetapkan sebutan semula kes pada 27 Mac ini untuk status dokumentasi sebagai persediaan bicara dan arahan lanjut berkaitan penyataan saksi,” kata hakim itu.
Pada tahun lalu, Adam Radlan mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan rasuah dan tujuh pengubahan wang haram selepas didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur dan Shah Alam.
Antara pertuduhan itu menyebut, Adam Radlan didakwa atas pertuduhan pertama meminta rasuah daripada Pengarah Urusan Syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn. Bhd., Mat Jusoh Mamat iaitu wang tunai sejumlah 3.5 peratus hingga tujuh peratus nilai projek berkaitan Jana Wibawa.
Suapan itu sebagai upah membantu syarikat tersebut mendapatkan Surat Setuju Terima bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus manakala kesalahan didakwa dilakukan di sebuah restoran di Dutamas pada Mac 2021.
Bagi lima pertuduhan rasuah, Adam Radlan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara bagi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram ahli perniagaan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.










