342 produk inovasi pelajar asasi, matrikulasi berentap di USIM - Utusan Malaysia

342 produk inovasi pelajar asasi, matrikulasi berentap di USIM

URUS SETIA pelajar dari Pusat Tamhidi USIM menunjukkan pingat dan piala anugerah khas Pertandingan Inovasi Inter Asasi Matrikulasi (PIITRAM) 2024 yang akan disampaikan kepada para penerima pada Sabtu ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 342 produk inovasi pelajar asasi dan matrikulasi berentap dalam Pertandingan Inovasi Inter Asasi Matrikulasi (PIITRAM) 2024 yang berlangsung selama dua hari di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai di sini bermula esok.

Pengarah Program PIITRAM 2024, Mohamad Hazwan Abdul Rahman berkata, Pusat Tamhidi USIM merupakan tuan rumah bagi pertandingan tersebut yang merupakan pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan yang melibatkan penglibatan asasi universiti awam dan matrikulasi seluruh negara.

Menurutnya, program di bawah naungan Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam itu mula dianjurkan secara tahunan sejak 2021 dan telah menyaksikan peningkatan penyertaan inovasi dari tahun ke tahun.

“Diadakan di Dewan Tuanku Canselor USIM, sebanyak 342 produk inovasi telah disahkan menyertai pertandingan PIITRAM kali ini yang terdiri daripada 224 penyertaan dari asasi universiti awam, 113 kolej matrikulasi dan lima politeknik (Asasi TVET).

“PIITRAM 2024 merupakan platform terbaik bagi pempamer produk inovasi mengembangkan bakat pelajar asasi dan matrikulasi dalam menghasilkan reka cipta yang berteraskan pendekatan interdisiplin dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik (STEAM) sejajar dengan transformasi pendidikan kebangsaan bagi melahirkan modal insan yang sangat mahir dan inovatif,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Hazwan berkata, melalui PIITRAM 2024, kakitangan akademik dan pentadbiran juga berpeluang untuk menonjol dan mengetengahkan idea serta praktis terbaik yang diamalkan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) atau budaya kerja berkualiti melalui hasil ciptaan kreativiti mereka. 

Sementara itu, selain merebut pingat emas, perak dan gangsa, PIITRAM kali ini juga mempertandingkan 11 anugerah khas untuk inovasi terbaik antaranya Anugerah Projek Terbaik Keseluruhan (Al-Khawarizmi); Anugerah Khas MOSTI, Anugerah Projek Kreatif Terbaik, Pembentangan Terbaik dan Poster Terbaik. 

“Bersempena musim cuti persekolahan, Pusat Tamhidi dengan kerjasama FaSTLAB dan Akademi Sains Malaysia (ASM) turut menganjurkan Program Jom STEM khusus untuk pelajar sekolah pada Sabtu dengan aktiviti pameran dan demonstrasi sains. 

“Dijangkakan hampir 1,500 pengunjung akan hadir pada Sabtu ini, pihak penganjur turut menyediakan pengisian sampingan seperti pesta jualan pelbagai menu makanan melalui kenderaan saji, persembahan dari Kelab Kebudayaan USIM, pameran, konsultasi kerjaya dan cabutan bertuah,” tambahnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×