PETALING JAYA: Parti Warisan (Warisan) sedia menerima sebarang bentuk formula UMNO Sabah khususnya dalam hal pemilihan Ketua Menteri jika kerjasama kedua-dua parti berjaya direalisasi dalam mendepani pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Persoalan tentang siapa bakal calon ketua menteri gabungan itu tercetus selepas Warisan dan UMNO Sabah memberi gambaran akan bekerjasama dalam PRN nanti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong Hong Jun berkata, Warisan juga akan memberi formulanya kepada UMNO Sabah dalam soal kerjasama politik pada PRN akan datang.
RASMI
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru itu berkata, walaupun masih belum ada keputusan kerjasama secara rasmi, namun, beliau menyifatkan kedua-dua parti politik memberi maklum balas positif yang akan membuka jalan kepada kerjasama menumbangkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Setakat ini semuanya berjalan lancar, cuma kadang-kadang dalam politik ini apa sahaja boleh berlaku. Kita belum lagi bermesyuarat jadi kena tunggu apa keputusan Majlis Tertinggi. Tunggu Presiden umum.
“Soal isu Ketua Menteri, kita lihatlah nanti macam mana, kedua-dua mereka (Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri Bung Moktar Radin) adalah kawan lama.
“Jika dilihat dari aspek senioriti, Mohd. Shafie orangnya, tetapi, saya rasa hal ini tidak menjadi masalah. ia boleh diselesaikan.
“Kalau kerjasama, apa formulanya (UMNO Sabah akan beri) kita (Warisan) terimalah. Cuma, setakat ini kedua-dua parti masih belum berbincang secara rasmi,” katanya ketika dihubungi semalam.
KUNCI MULUT
Utusan Malaysia turut menghubungi Mohd. Shafie mengenai perkembangan terkini Warisan dan kerjasama UMNO Sabah, bagaimanapun, bekas Ketua Menteri itu mengunci mulut.
Tempoh pemerintahan GRS sepatutnya berakhir pada Oktober 2025, namun, penganalisis politik tidak menolak PRN akan diawalkan.
GRS ketika ini menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas kemelut politik dengan Barisan Nasional (BN)/UMNO sebelum ini.
Ketika ini, blok kerajaan negeri dianggotai GRS-PH dan Pas mempunyai 50 daripada 79 kerusi termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, manakala pembangkang terdiri daripada BN/UMNO dan Warisan mempunyai 29 kerusi termasuk ADUN dilantik.
Pada 13 November tahun lalu, Hajiji membayangkan, kemungkinan PRN Sabah diadakan seawal tahun depan walaupun tempoh kerajaan negeri sekarang masih berbaki kira-kira dua tahun lagi.
Pada 18 November tahun lalu, media melaporkan, Bung Moktar tidak menolak kemungkinan menjalin kerjasama dengan Warisan yang turut melibatkan Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) bagi menghadapi PRN Sabah.
Pada 14 Disember tahun lalu, Mohd. Shafie dilaporkan berkata, tidak mustahil Warisan bekerjasama dengan UMNO Sabah untuk kepentingan rakyat negeri ini. – UTUSAN










