KUALA LUMPUR: Seorang tukang urut lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, awal bulan ini.
Hamid Khan Samoon, 43, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Kafli Che Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja itu untuk tujuan seksual di sebuah bilik hotel di Jalan Sultan, City Centre di sini pukul 8 malam antara 1 Januari dan 10 Januari lalu.
Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa serta melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah ikat jamin itu dikurangkan kerana perlu menanggung kakaknya.
“Pohon kurangkan jumlah jaminan, saya tanggung kakak saya dan dia (kakak) mengharapkan saya,” katanya.
Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Mohd. Kafli membenarkan Hamid Khan diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Tarikh 21 Februari ini ditetapkan sebutan kes.
Pada 17 Januari lalu, media melaporkan salah seorang daripada dua beradik yang sebelum ini dilaporkan hilang di Taman Bernam Jaya, Hulu Selangor mendakwa dicabul di dalam sebuah hotel di Jalan Sultan, di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut daripada seorang lelaki berusia 16 tahun, 12 Januari lalu.
Jelasnya, mangsa mendakwa dirinya dicabul dan diperlakukan perkara tidak senonoh oleh seorang individu di hotel itu.
“Bertindak atas maklumat risikan, pihak polis berjaya menahan seorang individu berusia 43 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut di hadapan sebuah hotel di lokasi sama,” ujarnya.
Pada masa sama, polis menegaskan remaja lelaki tersebut bukan diculik sebagaimana dilaporkan, sebaliknya telah keluar dari rumah di Hulu Bernam, Selangor.
Media turut melaporkan, seorang daripada dua beradik lelaki yang dilaporkan hilang pada pada 1 Januari lalu, ditemukan dalam keadaan tidak bermaya di Stesen LRT Pasar Seni, 11 Januari lalu.
Ibu mangsa yang berusia 39 tahun berkata, anaknya yang mesra dengan panggilan Along, mendakwa dia dan adiknya telah dilarikan oleh individu yang tidak dikenali sebelum dibawa dan dikurung di sebuah motel di Jalan Petaling.










