Tiada pencen bagi wakil rakyat, menteri - Utusan Malaysia

Tiada pencen bagi wakil rakyat, menteri

Anwar Ibrahim beramah mesra bersama orang awam semasa makan tengah hari di Restoran Nasi Kandar Pelita di Desa Sri Hartamas semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cadangan pemansuhan pencen kakitangan awam lantikan baharu bermula Februari ini akan turut membabitkan wakil rakyat dan menteri.

Perdana Menteri berkata, per­kara itu bagaimanapun ma­sih di peringkat kajian sebelum dimuktamadkan Jemaah Menteri selepas kerajaan membuat perincian dan mende­ngar pandangan pelbagai pihak.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau secara prinsip bersetuju de­ngan cadangan supaya kerajaan memansuhkan pencen wakil rak­yat dan menteri.

Anwar berkata, ketika ini kerajaan menanggung beban kewa­ngan besar untuk membayar pencen kepada penjawat awam, wakil rakyat dan menteri-menteri.

“Perkara itu akan di­muk­tamadkan Jemaah Men­teri selepas mendengar pan­dangan pel­bagai pihak dan melakukan kajian mendalam termasuk mengambil kira dari sudut Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi, ada orang kata mengapa tidak me­libatkan ahli politik. Soal lain ada yang pernah jadi Menteri Besar, Menteri, Timbalan Perdana Menteri.

“Itu dalam Perlembagaan, kita boleh kaji, tidak boleh belakangkan, itu retrospektif, untuk baharu kita boleh kaji,” kata beliau selepas makan tengah hari bersama warga kota di Desa Sri Hartamas sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Ubudiah, Bukit Segambut di sini semalam.

SARAAN

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, jika terdapat skim saraan baharu yang dibentangkan kepada penjawat awam pada 1 Februari ini, ia juga akan terpakai kepada ahli-ahli politik lantikan baharu.

“Jika 1 Februari 2024 dibentangkan skim saraan baharu, (maka) semua lantikan termasuk lantikan ahli politik juga tidak berpencen.

“Secara prinsip saya bersetuju apa jua keputusan yang juga terpakai untuk lantikan politik, tapi dimuktamadkan selepas kajian dibawa dan Jemaah Menteri memutuskan,” katanya.

Semalam, Kongres Kesa­tuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhid­matan Awam (CU­EPACS) menggesa kerajaan meng­kaji semula pemberian pencen kepada ahli-ahli politik membabitkan wakil rakyat jika negara berdepan kekangan kewangan sehingga terpaksa menyekat skim saraan perkhidmatan awam.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berkata, kerajaan sepatutnya memikirkan untuk memansuhkan pencen kepada kumpulan ‘orang politik’ terlebih dahulu kerana kebanyakan mereka hanya berkhidmat sekitar lima tahun berbanding penjawat awam 30 tahun.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, semua kerajaan termasuk kerajaan sebelum ini dan mana-mana negara me­ngakui keadaan ekonomi tidak boleh bertahan jika tiada sesuatu dilakukan membabitkan skim persaraan pekerja.

“Jadi dengar dahulu cada­ngan dikemukakan, bahas dahulu, teliti bagi pandangan apa perlu diubah suai, apa yang kerajaan perlu lakukan kemudian kita akan muktamadkan,” katanya.

Kata beliau, susulan kekeliruan berhubung kenyataan penjawat awam berstatus tetap tanpa pencen bagi lantikan baharu Februari ini, perkara itu akan dijelaskan lagi oleh Menteri Kewangan Kedua dan beliau sendiri selepas ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kabinet dilaporkan bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap tidak lagi berpencen.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, bagi penjawat awam tetap sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas, sementara penjawat awam baru itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×