PETALING JAYA: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional akan memulakan tindakan undang-undang terhadap peminjam bagi mendapatkan semula hutang lapuk yang kini mencecah RM340 juta.
Hutang lapuk diklasifikasikan sebagai tunggakan pinjaman yang melebihi 24 bulan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusinya, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, keadaan itu berpunca daripada ketidakpatuhan kepada prosedur yang ditetapkan.
HILANG

“Dalam posisi sekarang, kita ada hutang lapuk RM340 juta yang sebelum ini yang tidak dibayar…yang lama-lama akan hilang tanpa berita,” katanya ketika dihubungi, semalam.
TEKUN menyediakan kemudahan pembiayaan secara mudah dan cepat kepada bumiputera untuk memulakan dan memajukan lagi perniagaan mereka, selain khidmat bimbingan dan sokongan serta jaringan usahawan.
Agensi itu menyediakan 12 skim pembiayaan individu, tiga skim pembiayaan berkumpulan dan satu skim pembiayaan kontrak.
Agensi itu juga menawarkan pinjaman sehingga 100,000 dengan tempoh pembiayaan antara enam hingga 120 bulan bagi kebanyakan skim pembiayaan individu.
Skim pembiayaan yang disediakan TEKUN meliputi golongan bumiputera, Orang Asli serta masyarakat India serta merangkumi pelbagai industri seperti kraf dan sukan.
PEMBIAYAAN
Mengulas lanjut, Abdullah Sani memaklumkan, kadar jumlah pembiayaan tidak berbayar (NPF) daripada jumlah keseluruhan portfolio pembiayaan semasa pada 2023 adalah pada paras 12 peratus.
Katanya, peratusan itu disifatkan masih pada kadar sederhana, namun perlu ditambah baik lagi.
“Jadi, tahun 2024 ini saya tidak akan kompromi untuk mendapatkan bayaran balik pembiayaan. Hutang kena bayar,” katanya.
Oleh itu, katanya, beliau tidak teragak-agak untuk memfailkan saman di mahkamah bagi menuntut tunggakan daripada peminjam.
“Selain itu, saya juga akan mencadangkan dalam mesyuarat Lembaga Amanah supaya tubuh ejen pemungut hutang. Ejen ini akan bertanggungjawab mencari peminjam dan menuntut semula tunggakan bernilai RM340 juta itu.
“Walaupun (tuntutan hutang lapuk) pentadbiran sebelum ini di bawah anak syarikat, iaitu TEKUN Corporation, tetapi nampak kegagalan dan lembab kutip balik (hutang),” ujarnya.
BERI MASA
Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, TEKUN perlu memberi ruang dan masa kepada masyarakat peniaga untuk memastikan perniagaan mereka mendapat keuntungan.
Katanya, hal itu kerana pelbagai isu perlu diberi perhatian terlebih dahulu selepas pandemik Covid-19 terutamanya dari segi tanggungjawab menyara kehidupan.
“Selain itu, dalam situasi hari ini, keadaan ekonomi tidak begitu bagus, harga barang meningkat serta kuasa membeli menurun, maka orang hari ini lebih berjimat dan tidak berbelanja di kedai.
“Jadi kena lihat sama semua itu, tidak boleh tekan sangat masyarakat peniaga. Jika tidak, mereka putus asa dan henti operasi.
“Sekarang ini pun banyak peniaga datang jumpa beritahu untung tidak berapa, penat sahaja yang lebih. Malah, di kompleks beli belah pun banyak kalangan peniaga tidak beroperasi dan ada yang gulung tikar pun ada,” katanya.
Justeru, beliau berkata, TEKUN perlu menilai semula tujuan agensi itu diwujudkan untuk membantu masyarakat peniaga dan usahawan kecil.
“Kalau tidak cukup, minta bajet daripada kerajaan. Apa yang penting kena uruskan dan pelan untuk tuntut semula pinjaman.
“Saya pun sudah hantar surat kepada Pengerusi TEKUN. Kita ada kaedah bagaimana mahu bantu TEKUN (tuntut tunggakan),” katanya. – UTUSAN










