Takungan paya ‘piring’ hantui penduduk

Takungan paya ‘piring’ hantui penduduk

KEADAAN Kampung Seberang Batu Badak di Segamat yang masih mengalami takungan air paya ‘piring’ atau banjir termenung mengakibatkan penduduk masih ditempatkan di PPS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Penduduk di Kampung Seberang Batu Badak, dekat sini masih terpaksa menghuni pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan takungan air paya ‘piring’ yang mengakibatkan banjir termenung.

Fenomena itu menjadikan paras air di kawasan rumah penduduk mengambil masa lama untuk surut.

Basir Miskam, 36, berkata, banjir termenung menjejaskan kira-kira 50 penduduk daripada 10 keluarga berikutan kedudukan kampung berkenaan di kawasan rendah walaupun hujan hanya sesekali sejak empat hari lalu dan air sungai sudah surut.

“Air banjir dari sungai yang melimpah sebelum ini tidak dapat mengalir ke Sungai Segamat seperti kawasan-kawasan banjir lain. Mungkin jika paya ‘piring’ tidak wujud, masalah banjir termenung tidak akan berpanjangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Mohd. Firdaus Ramli, 24, terpaksa tinggal di PPS di Balai Raya Kampung Batu Badak sejak seminggu lalu, iaitu hari pertama banjir kerana rumahnya masih digenangi air setinggi 0.5 meter.

“Pada hari pertama banjir melanda, air naik ke rumah hampir satu meter tetapi sejak beberapa hari lalu, air surut sedikit. Bila tengok orang lain dapat pulang ke rumah, saya pun berasa tidak sabar hendak pulang.

“Namun, pihak berkuasa beri­tahu masih tidak boleh balik lagi sebab air masih keliling rumah.” ujarnya

Menurutnya, banjir terme­nung adalah situasi biasa dihadapi mereka sejak tinggal di Kampung Seberang Batu Badak kira-kira 20 tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN