Suknes 2024 medan cungkil bakat baharu atlet wakili N. Sembilan - Utusan Malaysia

Suknes 2024 medan cungkil bakat baharu atlet wakili N. Sembilan

AMINUDDIN Harun (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kewangan Suknes 2024 kepada ADUN Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin (tengah) pada majlis yang diadakan di Wisma Negeri, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kejohanan Sukan Negeri Sembilan (Suknes) 2024 yang akan dianjurkan bermula 27 Januari ini bakal menjadi medan mencungkil bakat baharu termasuk bagi mewakili kontinjen negeri ini ke temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-21 di Sarawak tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bukan setakat itu, penganjuran Suknes juga bertujuan mewujudkan ‘kesedaran sukan’ dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

“Ia boleh dijadikan platform untuk memilih atlet terbaik dalam kalangan anak Negeri Sembilan bagi kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Di samping itu, juga dapat merealisasikan konsep sukan untuk semua melalui perkhidmatan dan pembangunan sukan dengan penganjuran sukan yang melibatkan penyertaan yang ramai dari peringkat akar umbi.

“Bagi persatuan-persatuan sukan negeri dan Majlis Sukan Negeri Sembilan, jadikan kejohanan ini sebagai salah satu medan untuk mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan atau diserapkan dalam program pembangunan sukan yang ada, lebih-lebih lagi kontinjen Negeri Sembilan akan menyertai Sukma Ke-21 yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos 2024 di Sarawak,” katanya.

Aminuddin berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Bersempena Suknes 2024 kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Wisma Negeri di sini hari ini.

Yang hadir sama, Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mustapha Nagoor

Menteri Besar memberitahu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi menganjurkan kejohanan ini dan sebanyak RM10,000 diserahkan kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi penganjuran di peringkat DUN.

Sementara itu, Mustapha berkata, seramai 2,000 orang atlet dan pegawai akan menyertai Suknes 2024 yang mempertandingkan empat acara sukan utama iaitu badminton, futsal, sepak takraw dan bola jaring.

“Di peringkat DUN, kejohanan akan bermula pada 27 hingga 28 Januari dan 3 hingga 4 Februari ini. Acara kemuncak di peringkat negeri pula berlangsung pada 16 hingga 18 Februari 2024,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN