Siasatan Roger Ng 80%, menantu Muhyiddin masih tunggu notis merah - Utusan Malaysia

Siasatan Roger Ng 80%, menantu Muhyiddin masih tunggu notis merah

roger ng chong hwa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan ke atas bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng dalam usaha pemulihan aset yang dipercayai diseleweng daripada dana 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB) hampir lengkap.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya percaya akan melengkapkan kertas siasatan dalam masa terdekat ini.

Menurut beliau, siasatan polis adalah mengenal pasti aset-aset yang diseleweng daripada dana 1MDB untuk perolehan kembali (asset recovery).

“Kita telah menyerahkan se­na­rai itu (aset) kepada pejabat Peguam Negara (AG) untuk tindakan lanjut.

“Siasatan polis terhadap beliau (Roger) hampir 80 peratus lengkap dan kita percaya akan selesai dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pada 10 Oktober lalu, Razarudin mendedahkan siasatan dijalankan pihaknya terhadap Roger tertumpu kepada modus operandi berkaitan penjualan bon dipercayai dana 1MDB.

SIASATAN

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya menjalankan siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pem­biayaan Keganasan (AMLA).

Kata beliau, siasatan memfokus kepada modus operandi Roger dalam penjualan bon termasuk komisen diperoleh.

Pada 7 Oktober lalu, media melaporkan Roger yang sedang menjalani hukuman penjara di Amerika Syarikat (AS) diperintahkan untuk menyerah diri kepada Perkhidmatan Marshal AS sebelum diserahkan kepada Malaysia untuk menghadapi perbicaraan di negara ini.

Dalam perkembagan lain, Razarudin berkata, polis masih menunggu maklum balas daripada Polis Antarabangsa (Interpol) berkaitan permohonan notis merah terhadap Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, setakat ini permohonan tersebut masih dalam penelitian pihak Interpol selepas diserahkan kepada ibu pejabat agensi itu di Lyon, Perancis, bulan lalu.

“Saya dimaklumkan mereka (Interpol) sedang meneliti permohonan dihantar berdasarkan maklumat-maklumat yang diperoleh daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Justeru, kita masih menunggu jawapan daripada mereka (Interpol) mengenai perkembangan lanjut berkaitan notis merah terhadap kedua-dua individu tersebut,” katanya.

Pada Ogos lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, Muhammad Adlan, 48, dan Mansoor Saat, 69, dikehendaki tampil ke SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN