KANGAR: Berkain pelikat, duduk di atas tangga sebuah rumah kayu, kelihatan seorang warga emas tekun menjahit pukat jaring. Itu rutin Sharif Zakaria sejak lebih 50 tahun lalu.
Pada usia hampir mencecah 70 tahun itu, tangan Sharif masih ‘berseni’ dan teliti menjahit pukat jaring yang ditempah nelayan di sekitar Kuala Perlis di sini yang turut menjadi pendapatannya dalam tempoh tersebut.
Menjadi kelaziman pada sebelah pagi, Sharif dari Kampung Hujung Tanjung, perkampungan nelayan Seberang Ramai di sini turun ke laut sebagai nelayan dan pada tengah hari dan petang, warga emas berkenaan meneruskan kerja-kerja menjahit pukat jaring tersebut.
Di Kuala Perlis terdapat sekitar 11 tukang jahit pukat yang masih aktif bagi memenuhi keperluan pukat kira-kira 1,300 nelayan di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Sharif berkata, sudah lebih 50 tahun dia terlibat dengan kerja-kerja menjahit pukat selepas pulang atau tidak turun ke laut menangkap ikan.
Katanya, bagi menyiapkan satu pukat baharu, dia mengambil masa empat jam dengan upah pula sekitar RM30.
Katanya, menjahit pukat memerlukan ketelitian dan dia mengambil masa beberapa jam sehari untuk menyiapkannya sedikit demi sedikit pukat bersaiz empat, lima atau sembilan inci itu.
PUKAT
“Rata-rata nelayan di sini mengupah saya membuat pukat dan satu-satu pukat tersebut mampu bertahan dua atau tiga tahun. Selain buat baharu, saya juga membaiki pukat yang dihantar nelayan-nelayan di sini.
“Selagi ada hayat, saya akan terus meneruskan rutin menjahit pukat memandangkan ia juga merupakan minat saya selain menjadi pendapatan tambahan,” katanya.
Kata Sharif, permintaan terhadap pukat masih tinggi kerana kebanyakkan penduduk di sini adalah nelayan.
Katanya, selagi ada nelayan, kerja-kerja menjahit pukat akan terus bertahan dengan sekarang terdapat kira-kira 11 orang yang masih aktif termasuk golongan muda yang mengambil upah menjahit pukat.
“Seperti menjadi rutin saya menjahit pukat ini. Selain turun ke laut, saya akan menjahit pukat para pelanggan. Setiap bulan, anggaran daripada upah menjahit pukat ini adalah dalam sekitar RM300,” katanya. – UTUSAN











