JOHOR BAHRU: Polis negeri ini menggempur sebuah pusat hiburan di Stulang Laut, di sini pagi semalam yang menawarkan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO) warganegara asing.
Dalam serbuan pukul 2.45 pagi itu oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor menahan seramai 74 GRO yang terdiri daripada wanita Thailand, Vietnam dan Laos.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua yang ditahan itu berusia antara 22 hingga 45 tahun dan dipercayai bekerja tanpa permit yang sah.
“Dalam serbuan itu, polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan, iaitu pengurus pusat hiburan dan seorang wanita warga tempatan yang bekerja sebagai juruwang kerana melanggar syarat operasi pusat hiburan.
“Mereka turut ditahan kerana disyaki menggaji pekerja warga asing tanpa permit yang sah,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Kamarul Zaman memberitahu, turut ditahan seorang pelanggan lelaki warga tempatan yang merupakan orang dikehendaki di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak atau individu yang melanggar syarat operasi pusat hiburan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada termasuk cadangan pembatalan lesen kepada pihak berkuasa tempatan,” tegasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Johor serta Peraturan 39b Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 55B, Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 15(1)(c) akta sama.
Sepanjang tahun lalu polis negeri ini melakukan 602 serbuan ke atas premis pusat hiburan dan menahan seramai 1,733 orang.
“Ia melibatkan 514 lelaki dan 102 wanita warga tempatan, 143 lelaki dan 974 wanita warganegara asing, serbuan turut melibatkan jumlah wang rampasan sebanyak RM104,445,” katanya. – UTUSAN