Sekatan pekerja asing tinggal di kawasan kediaman wujudkan ketegangan sosial - Utusan Malaysia

Sekatan pekerja asing tinggal di kawasan kediaman wujudkan ketegangan sosial

TARMIZI ANUWAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Keputusan kerajaan Negeri Sembilan baru-baru ini yang menyekat pekerja asing daripada tinggal di kawasan berstatus kediaman dilihat boleh menghalang perpaduan sosial dalam masyarakat.

Wakil Pusat Pilihan Pengguna Malaysia, Tarmizi Anuwar berkata, tindakan itu juga boleh mewujudkan perpecahan, memupuk rasa ‘kita lawan mereka’ yang sekali gus boleh mengakibatkan ketegangan sosial.

Kata beliau, pengasingan ke kawasan zon komersial juga boleh meningkatkan perbelanjaan pekerja asing terlibat serta mewujudkan tekanan kewangan tambahan yang boleh memberi kesan negatif kepada kualiti hidup mereka secara keseluruhan.

“Dasar sedemikian mungkin mempunyai kesan ekonomi terutamanya kepada perniagaan tempatan. Pekerja migran menyumbang kepada ekonomi tempatan melalui corak penggunaan mereka. 

“Mengehadkan akses mereka ke kawasan kediaman mungkin mengehadkan penyertaan mereka dalam perniagaan tempatan yang menjejaskan dinamik ekonomi kawasan tersebut.

“Ia bukan sahaja menjejaskan perpaduan sosial tetapi juga menimbulkan risiko ekonomi yang ketara. Pekerja migran memainkan peranan penting dalam ekonomi tempatan, menyumbang melalui corak penggunaan mereka,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, kerajaan Negeri Sembilan membuat keputusan untuk tidak membenarkan pekerja warga asing ditempatkan di mana-mana kawasan berstatus kediaman.

Menurutnya, sehingga tempoh hujung tahun ini, semua kediaman yang dijadikan sebagai tempat tinggal pekerja asing akan dibuat pemutihan.

Jelas beliau, sebelum tempoh itu tamat semua pekerja asing yang ditempatkan di kawasan berstatus kediaman perlu dipindahkan ke kawasan komersial atau Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ).

Katanya, dengan pelaksanaan tindakan berkenaan, isu yang berpunca daripada pekerja warga asing di kawasan perumahan seperti gangguan dan kebersihan juga dapat diselesaikan.

Sementara itu, Tarmizi menambah, daripada larangan secara terang-terangan, tumpuan harus diberikan kepada mempromosikan pilihan perumahan yang pelbagai, mengambil inspirasi daripada model yang berjaya seperti yang dilaksanakan di Singapura. 

“Dengan menggalakkan pembangunan guna bercampur, kita boleh mewujudkan kawasan kejiranan bertenaga yang menampung keperluan kedua-dua penduduk dan pekerja asing.

“Mencontohi model perumahan yang berjaya seperti Singapura yang menggalakkan keterangkuman dan kepelbagaian, boleh membawa kepada pembangunan komuniti yang bertenaga di mana setiap orang mempunyai tempat untuk dipanggil rumah,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya