RUU penggal tetap Parlimen mampu selamatkan negara-UMNO Kelantan

RUU penggal tetap Parlimen mampu selamatkan negara-UMNO Kelantan

NOOR Hariri Mohamed Noor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Rang Undang-Undang tetap Parlimen mampu menyelamatkan negara daripada berdepan krisis politik ekoran tindakan sekumpulan pihak yang dilihat kemaruk menukar kerajaan menerusi ‘tebuk atap’.

Bercakap kepada Utusan Malaysia Timbalan Ketua Penerangan UMNO Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor berkata, cadangan itu bukan bersifat ‘takut’ hilang kuasa sebaliknya kestabilan politik amat diperlukan dalam usaha memulihkan semula negara selepas pandemik Covid-19.

“Serangan pandemik Covid-19 meninggalkan kesan yang agak mendalam buat penduduk di negara ini. Ditambah pula, selepas itu negara berdepan dengan situasi politik yang tidak stabil.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semua pihak kena faham, negara kita sedang dalam proses pemulihan terutama dalam aspek ekonomi. Jika kerajaan terus bertukar dalam tempoh lima tahun, saya fikir proses pemulihan negara akan gagal,” katanya.

Noor Hariri memberitahu, hal ini kerana pelabur asing akan mengambil kira semua aspek termasuk politik sebelum membuat keputusan untuk menanam modal di Malaysia.

Katanya, jika tiada pelaburan asing masuk ke negara ini ia akan memberikan kesan tidak baik sekali gus menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

“Bagi saya, RUU ini tepat pada tika dan masanya dalam mengekang kerasukan pihak tidak bertanggungjawab yang kemaruk kuasa.

“Pilihan raya sudah lepas, terimalah hakikat dan mandat yang telah diberikan oleh rakyat. Lebih baik semua Ahli Parlimen bekerja untuk rakyat masing-masing dan bersama-sama kerajaan memulihkan negara.

“Gunakanlah kebebasan di Parlimen sebaik mungkin untuk menegur kerajaan dan bukan dengan cara menghasut, menyebarkan berita tidak benar sehingga menimbulkan kegusaran awam,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, satu rang undang-undang (RUU) penggal tetap Parlimen perlu diwujudkan agar pembentukan sesebuah kerajaan kekal sehingga akhir penggal atau sebelum pilihan raya umum (PRU) seterusnya diadakan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyarankan perkara itu berkata, langkah itu juga dapat menjamin kestabilan negara memandangkan kerajaan tidak diganggu oleh percaturan ahli politik demi kepentingan dan agenda masing-masing.

Katanya, pengalaman pahit lalu menyaksikan negara berdepan ketidakstabilan politik ekoran pertukaran tiga Parlimen dalam satu penggal sehingga menjejaskan pembangunan dan ekonomi negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×