AMPANG JAYA: Polis akan menyambung reman dua anggota polis yang dipercayai terlibat merogol dan menyamun penuntut kolej swasta baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, reman ke atas kedua-dua suspek berpangkat konstabel dan lans koperal itu akan disambung esok bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
“Reman terhadap kedua-dua suspek akan tamat esok (Rabu) dan dijangka disambung,” katanya di sini.
Terdahulu, media melaporkan dua anggota polis berkenaan ditahan kerja selepas disyaki melakukan jenayah samun dan merogol penuntut kolej swasta dalam kejadian di Bukit Ampang View, di sini, 9 Januari lalu.
Pihak polis menerima dua laporan berhubung kejadian itu iaitu satu laporan daripada seorang lelaki tempatan dan satu lagi laporan daripada seorang wanita warga asing. Kedua-dua mangsa berusia lingkungan 18 tahun dan belajar di kolej swasta.
Kejadian itu berlaku ketika kedua-dua pelajar itu berada di dalam kereta di lokasi kejadian dan ditahan oleh dua anggota polis yang lengkap beruniform
Salah seorang anggota polis itu kemudian didakwa dibawa ke sebuah bank untuk mengeluarkan duit yang diminta polis berkenaan manakala mangsa wanita yang ditinggalkan dengan seorang lagi anggita polis didakwa dirogol.
Susulan laporan polis, kedua-dua suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang.- UTUSAN