Pulih sawah padi jerlus

Pulih sawah padi jerlus

MOHAMAD Sabu menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2024 di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan berusaha memulih dan membangunkan kawasan sawah padi jerlus sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) pengeluaran beras negara sekali gus mampu mengurangkan kebergantungan kepada import.

Langkah itu antara 12 inisiatif diperkenalkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Ma­kanan menerusi Gelombang Padi bagi menambah baik mekanisme pelaksanaan sedia ada serta hala tuju baharu industri padi dan beras negara.

Antara kawasan terlibat dengan masalah tanah jerlus adalah Kawasan Muda (Kedah).

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehingga 31 Januari 2023, terdapat 1,662.38 hektar tanah jerlus di Kawasan Muda meliputi keluasan mengalami kerosakan tanaman padi sebanyak 788.75 hektar dan kawasan be­risiko jerlus seluas 873.63 hektar.

Setakat 31 Disember 2023, keluasan tanaman padi negeri utara Semenanjung yang terlibat dengan masalah tanah jerlus adalah sebanyak 585.95 hektar di Perlis, 595 hektar di Perak, dan 71.8 hektar di Kedah menjadikan 1,252.75 hektar secara keseluruhan.

Menteri Pertanian dan Ke­terjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, selain memulih dan membangunkan kawasan tanah jerlus, antara 12 inisiatif lain terdapat dalam Gelombang Padi adalah memperkenalkan Dasar Baharu Insentif Benih Padi Sah (IBPS); memperkasa pembekalan input pertanian dan memperkukuh pengurusan air ke kawasan ta­naman padi.

Selain itu, jelasnya, ia juga melibatkan peluasan pelaksana­an program SMART Sawah Ber­skala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan serta pembangunan sistem bersepadu yang mengintegrasi semua maklumat berkaitan industri padi dan beras (SMART Padi).

“Gelombang Padi ini dijangka menjadi game-changer (pengubah keadaan) yang bakal mentransformasi industri tersebut.

“Negara mengeluarkan sebanyak 1.6 juta tan metrik beras pada 2022 yang hanya mampu memenuhi 62.6 peratus daripada keperluan negara. Oleh sebab itu, kita terpaksa mengimport 1.1 juta tan metrik beras bagi menampung kekurangan bekalan.

“Justeru, saya berharap inisiatif ini (Gelombang Padi) akan mengangkat industri padi dan beras negara ke suatu tahap lebih cekap dan berdaya tahan seterusnya meningkatkan pendapatan pengeluaran makanan di sepanjang rantaian makanan,” katanya ketika menyampaikan ucapan Amanat Tahun Baharu 2024 di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohamad memberitahu, inisiatif Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang menjalankan kajian adaptasi penanaman bawang merah bagi pengeluaran dan penghasilan tempatan merupakan langkah proaktif dalam memperkukuh keterjaminan makanan.

Menurutnya, MARDI akan berperanan sebagai pusat pengeluar benih manakala Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Peladang berperanan untuk melaksanakan inisiatif penanaman bawang merah pada skala lebih besar melalui kolaborasi bersama kerajaan negeri dan usahawan berpotensi di kawasan-kawasan bersesuaian.

“Dalam memenuhi matlamat pengurangan import sebanyak 30 peratus, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan perlu menyasarkan seluas 1,447 hektar kawasan penanaman setahun dan saya berharap ia dapat dimulakan segera dari awal tahun ini,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Mohamad berkata, fokus kementeriannya bagi tahun ini adalah mengukuhkan tiga lagi industri sedia ada dan satu industri rintis membabitkan padi dan beras; ayam dan telur serta bawang dan nanas.

“Mulai 2024 hingga tahun sasaran 2030, suntikan pengukuhan melalui pelaksanaan dan pembudayaan Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) akan turut diberikan penekanan komprehensif ke atas semua fokus hala tuju itu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini