PETALING JAYA: Polis meneruskan siasatan di beberapa unit di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini berhampiran lokasi penemuan mayat kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, pada 6 Disember lalu.
Utusan Malaysia difahamkan beberapa pegawai dan anggota polis ke situ bagi meneruskan siasatan dan mencari bukti baharu.
Difahamkan, pasukan dari Bahagian Operasi Khas (D8) turut berada di lokasi kejadian bagi mengumpul maklumat risikan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, kehadiran pasukan penyiasat itu bertujuan menyemak beberapa perkara bagi mencari petunjuk baharu.
“(Ia) siasatan biasa, juga untuk pengumpulan maklumat risikan seperti dimaklumkan sebelum ini,” katanya semalam.
Menurutnya, polis masih berusaha menyiasat termasuk mencari bukti-bukti berkaitan kes.
Kelmarin, media melaporkan motif pembunuhan Zayn Rayyan perlu diperinci bagi mengenal pasti pelaku yang terlibat dalam kes pembunuhan itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu sudah dilakukan melebihi 90 peratus dari segi konvensional, saintifik dan forensik.
Bagaimanapun, polis masih tidak mengetahui motif sebenar kanak-kanak terbabit dibunuh dan memfokuskan maklumat risikan bagi memperincikan maklumat sedia ada ke arah memulakan tangkapan. – UTUSAN










