KOTA BHARU: Seramai 153 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah diberkas polis sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua individu yang ditahan itu merupakan PATI warganegara Bangladesh, Thailand, Indonesia, Myanmar dan Pakistan.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut kes berkait dengan curi merekodkan tangkapan paling tinggi iaitu 45 diikuti pecah rumah 32 orang.
“Seramai 28 orang warga asing ditahan selepas melakukan kesalahan khianat, rompak berkumpulan menggunakan kenderaan (15 orang), menceroboh (8), kes pukul (7) dan ugutan jenayah (6).
“Kita turut menahan tiga PATI yang terlibat kes bunuh, dua suspek bagi kes peras ugut selain masing-masing satu tangkapan kes rogol dan culik,”katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Rendah Polis dan Penyampaian Surat Penghargaan Peringkat Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, kesemua PATI itu diberkas dalam pelbagai operasi di seluruh negeri selepas polis menerima maklumat dan risikan.
Katanya, polis sentiasa menjalankan operasi untuk membanteras kegiatan jenayah melibatkan semua pesalah sama ada warga asing dan penduduk tempatan.-UTUSAN