Pendaftaran PADU dijangka selesai lebih awal – Uzir - Utusan Malaysia

Pendaftaran PADU dijangka selesai lebih awal – Uzir

Pendaftaran PADU dijangka boleh diselesai lebih awal berbanding masa adiberi 31 Mac ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka mampu mencapai sasaran 29 juta warganegara Malaysia berdaftar lebih awal berban­ding tarikh akhir ditetapkan iaitu pada 31 Mac depan.

Walaupun jumlah warganegara Malaysia yang berdaftar pada masa ini hanyalah 798,528 orang namun angka tersebut masih dalam jangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah warganegara Malaysia yang berdaftar akan terus melonjak apabila angka mereka yang berjaya didaftar mendekati satu juta orang.

Menurut beliau, jangkaan tersebut adalah berdasarkan pengalaman pihaknya melakukan bancian terhadap rakyat Malaysia sebelum ini.

“Biasanya apabila jumlah pendaftar mendekati satu juta, proses tersebut akan menjadi lebih laju kerana individu yang berjaya mendaftar akan menjadi promoter kepada ahli keluarga dan rakan-rakan lain.

PASUKAN

“Pada masa sama, DOSM juga menggerakkan pasukan ke kawasan tumpuan orang ramai seperti kompleks beli-belah, universiti dan sebagainya untuk mendekati lebih ramai warganegara dengan memberikan penerangan berhubung inisiatif kerajaan melalui sistem PADU,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga melakukan gerak kerja dengan pelbagai pihak termasuk persatuan majikan, ketua-ketua industri dan wakil komuniti untuk menyebar luaskan lagi pendaftaran PADU dalam kalangan rakyat.

“Kita juga menggerakkan pasukan untuk membantu golongan seperti warga emas, Orang Asli dan mereka yang tinggal di pedalaman bagi membantu mereka mendaftarkan diri menerusi sistem PADU,” katanya.

Berdasarkan kemas kini DOSM, rakyat Selangor menjadi negeri tertinggi yang mendaftar di sistem PADU iaitu seramai 182,943 orang manakala tiga negeri terendah adalah Perlis (7,003); Putrajaya (4,262) dan Labuan (1,849).

Pada masa sama, Mohd. Uzir menasihatkan semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas supaya mendaftar lebih awal di sistem PADU supaya dapat mengelakkan gangguan sistem sekiranya melengahkan pendaftarannya.

“Kita tidak ada tempoh yang panjang, jika semua mengambil pendekatan tunggu dan lihat mungkin akan berlaku gangguan sistem dan sebagainya ketika mendaftar pada saat-saat akhir.

“Perlu diingat bahawa kerajaan berpaksikan pada data ini untuk mengetahui denyut nadi rakyat dalam apa jua bagi membantu mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN