PETALING JAYA: Pemahaman rakyat terhadap senario perundangan negara perlu dipertingkatkan supaya badan kehakiman tidak terus dikritik apabila ada individu berprofil tinggi dilepas dan dibebaskan.
Rakyat tidak boleh membezakan bidang tugas seorang peguam, pendakwa raya dan hakim.
Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan, Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, pemahaman tersebut perlu dipertingkatkan supaya tiada badan yang dipersalahkan sekiranya keputusan berkaitan kes-kes tertentu tidak memenuhi kehendak rakyat.
“Perkara utama dalam senario perundangan negara adalah kefahaman yang mungkin terlalu dangkal atau silap terhadap proses mahkamah. Jadi saya merasakan orang ramai perlu mendidik diri mereka sendiri mengenal pasti tugas-tugas pendakwaan, mahkamah dan pembelaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, badan kehakiman sentiasa dijadikan ‘kambing hitam’ setiap kali ada individu berprofil tinggi dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan jenayah.
Nik Ahmad berkata, badan kehakiman tidak sepatutnya menghadapi situasi tersebut dan dipersalahkan.
“Jika Peguam Negara mengatakan bahwa mereka tidak akan teruskan pertuduhan terhadap seseorang maka mahkamah tidak boleh menghalang.
“Tugas mahkamah adalah mendengar pertuduhan dan pembelaan, seterusnya membuat keputusan berdasarkan apa yang dibentang oleh kedua-dua belah pihak,” katanya. – UTUSAN










