KUALA NERUS: Pas dinasihatkan agar menghentikan angan-angan ntuk menukar kerajaan sebaliknya perlu memberi fokus sebagai pembangkang yang efisien dalam pembangunan negara.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, tindakan Pas yang menjaja naratif pertukaran kerajaan juga menunjukkan mereka adalah parti yang ekstrem dan tidak menghormati keputusan rakyat melalui Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Menurutnya, Pas juga seperti telah mendidik penyokongnya untuk menjadi ekstrem dan berpolitik sepanjang masa tanpa menghiraukan nasib rakyat di akar umbi.
“Sikap ekstrem Pas ini perlu ditolak oleh rakyat Malaysia. Sudah-sudahlah Pas dengan angan-angan dia, sandiwara dia, helah dia.
“Semuanya tidak wujud kerana mereka hanya bermain dengan sentimen dan ini menimbulkan keresahan pada rakyat dan tidak baik untuk negara secara keseluruhannya di mata dunia,” katanya.
Muhammad Faiz berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman MoU antara Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Universiti Malaysia Terengganu Jaya Holdings Sdn. Bhd. di sini.
Beliau mengulas keyakinan Pas akan berlakunya pertukaran kerajaan dalam masa terdekat seperti diumumkan beberapa pemimpinnya baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, sebagai sebuah negara yang sudah lama merdeka, pemimpin politik di Malaysia perlu berfikiran matang dan tahu mereka perlu bekerja sebaik sahaja pilihan raya melabuhkan tirainya. – UTUSAN