KUALA LUMPUR: Pas optimis orang Melayu kekal sokong Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) meskipun beberapa ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) beralih arah menyokong kepimpinan Perdana Menteri hari ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ini kerana rakyat dilihat lebih terkesan dengan kegagalan dasar yang tidak mencapai sasaran serta janji yang tidak ditunaikan.
“Daripada pihak kita, saya tidak rasa rakyat menolak PN kerana mereka lebih melihat kepada kegagalan kerajaan hari ini seperti janji tidak ditunaikan serta beberapa isu yang membuatkan orang Melayu khususnya terkesan.
“Jadi, sebab itu saya masih optimis Melayu akan kekal menyokong PN,” katanya ketika dihubungi,
semalam.
Beliau mengulas situasi politik susulan satu per satu ahli Parlimen Bersatu mengambil langkah bertentangan dengan parti iaitu menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan peruntukan.
“Sebelum ini Pas pernah menghadapi situasi yang lebih dahsyat lagi permainannya sewaktu Pas bertahaluf siyasi dengan Pakatan Rakyat.
“Sebagai contoh, krisis yang berlaku dahulu pada 2009 apabila tiga Ahli Dewan UNdangan Negeri (ADUN) PKR dan seorang DAP tarik sokongan dan kerajaan negeri Perak pada waktu itu tumbang.
“Jadi, kita tidak terkejut dengan apa yang berlaku sekarang kerana permainan sebegini adalah taktik dari dahulu lagi,” katanya lagi. – UTUSAN










