PETALING JAYA: Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan hari ini berupaya mengatasi isu ketirisan subsidi sekali gus membolehkan pengagihan bantuan hanya untuk kumpulan sasar.
Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, kerajaan dapat menggunakan maklumat yang diperoleh termasuk melalui kemas kini oleh rakyat sendiri untuk merancang kaedah pemberian subsidi kepada golongan yang benar-benar layak.
“Sekarang ini kita tak boleh melakukan (sebab) kita tidak ada (data) untuk buat keputusan siapa yang betul-betul perlu bantuan.
“Jadi kerajaan selama ini terpaksa beri subsidi berdasarkan kepada anggaran dan andaian sahaja tetapi dengan sistem PADU (maka) tiada lagi andaian, semua berasaskan kepada data yang jitu.
“Dengan PADU, data boleh digunakan untuk melakukan beberapa analisis menentukan kumpulan yang perlu subsidi, menentukan berapa subsidi, menentukan apa kesannya kepada ekonomi, setiap isi rumah, harga barang, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kadar inflasi dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Selepas PADU dilancar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perdana Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini, sistem tersebut dibuka kepada setiap rakyat Malaysia untuk mengesahkan atau mengemas kini data isi rumah masing-masing selama tiga bulan.
Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, kerajaan bagaimanapun perlu memberi perhatian terutamanya melibatkan isu keselamatan data rakyat dalam PADU.
DICURI
“Kita takut kemungkinan data itu boleh bocor, disalah guna atau dicuri oleh orang dan akan menyebabkan isu-isu seperti penipuan dan sebagainya, jadi itu perlu diatasi bagi memastikannya cukup selamat dan berdaya maju,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan berkata, PADU dilihat berpotensi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Menurut beliau, data-data yang dikumpulkan itu dapat membantu jabatan serta agensi berkaitan menyampaikan bantuan kepada kumpulan sasar.
“Setiap tahun kita umum bajet, jadi isunya setakat mana yang diumum itu benar-benar sampai kepada kumpulan sasar.
“Jadi PADU sedikit sebanyak boleh bantu sebab sudah ada profil individu serta isi rumah serta maklumat yang diintegrasikan dari pelbagai jabatan.
“Sebelum ini, mungkin agensi berkaitan perlu cari dahulu siapa penerima apabila satu-satu bantuan itu diumumkan kepada kumpulan sasar, jadi proses itu menyebabkan bantuan lambat.
“Dengan PADU, maka boleh klik sahaja untuk dapatkan maklumat (kumpulan sasar), jadi mungkin boleh menjimatkan sumber tenaga manusia serta tempoh masa,” katanya.
SISTEM
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi mempersoalkan sama ada sistem PADU dapat menjamin harga barang tidak meningkat serta mampu mengurangkan kos sara hidup.
“Dengan mengurangkan subsidi kepada golongan dikatakan M40 dan T20, apa jaminan harga barang tidak akan naik.
“Apabila kos mereka ini semakin meningkat, golongan M40 dan T20 yang menjadi pengeluar makanan atau peniaga, maka mereka mungkin akan naikkan caj mereka,” katanya.
Malah, beliau juga menyifatkan sistem PADU sebagai satu kecacatan dalam demokrasi.
“Rakyat diberi masa tiga bulan untuk kemas kini PADU, adakah itu demokrasi? Bukankah satu paksaan kepada rakyat untuk daftar PADU, dan kalau tidak daftar PADU adakah maksudnya banyak benda tidak dapat subsidi,” katanya.
Beliau berkata, dalam keadaan sekarang, kerajaan sepatutnya perlu tumpu meningkatkan ekonomi, mengurangkan harga barang serta kos sara hidup.
“Rakyat bukan nak ikan, tetapi joran. Jangan kata kita nak bagi ikan kepada rakyat terpilih saja.
“Hari ini banyak golongan M40 dan T20 atas kertas sahaja, jadi sekarang ini cari formula turunkan harga barang, tingkat ekonomi dan kurangkan kos sara hidup,” katanya. – UTUSAN










