PETALING JAYA : Tindakan seorang lelaki tempatan menjual video lucahnya melakukan hubungan seks dengan lebih 20 wanita pelbagai bangsa, menerusi laman sosial diberkas polis di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang, semalam.
Penahanan suspek berusia 31 tahun itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sebuah rumah pada pukul 2.30 petang.
Turut ditahan dua teman wanitanya berusia 23 dan 27 tahun di rumah yang turut didiami oleh bapa lelaki terbabit.
Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, suspek lelaki itu dikesan melalui hasil maklumat dan risikan pihaknya mengenai kegiatan mempromosikan aktiviti seks dirinya sendiri yang dirakam dan dijual untuk tontonan di platform Telegram.
Kata beliau, siasatan awal mendapati suspek utama yang pernah dua kali berkahwin dan bercerai memulakan aktiviti menjual dan mempromosikan ubat kuat seks dari China menerusi platform media sosial, sejak awal tahun lalu.
“Demi mengaut keuntungan lebih tinggi, suspek kemudian mempelajari cara baharu merakam video, dia melakukan hubungan seks ganas dengan teman wanitanya sebelum menjual adegan berkenaan dalam tiga saluran di aplikasi Telegram, sejak Julai tahun lalu.
“Tidak hanya teman wanita, suspek juga yang disyaki mempunyai latar belakang seorang gigolo atau lelaki upahan, turut meniduri sebahagian pelanggan wanita dalam saluran aplikasi Telegram berkenaan,” katanya di sini.
Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily berkata, modus operandi yang digunakan adalah dengan mengajak pelanggan melanggan menerusi pautan promosi yang diiklankan dalam aplikasi Telegram oleh suspek sebelum urusan pembayaran dipersetujui.
Kata beliau, selepas pembayaran dibuat, suspek akan menghantar pautan kepada pelanggan untuk terus menonton video lucah yang dilakonkan dan dirakam suspek sendiri.
“Setakat 16 Januari lalu, suspek mempunyai 2,051 pelanggan untuk pakej 200 video dengan bayaran RM100 dan 622 pelanggan untuk pakej RM20 sebulan bagi 13 video.
“Semua pelanggan aplikasi ini adalah rakyat Malaysia daripada golongan lelaki miang dan wanita kesunyian yang memiliki kerjaya dalam bidang profesional seperti doktor, usahawan dan sektor korporat,” jelasnya.
Beliau berkata, ada dalam kalangan wanita terbabit yang mempunyai keinginan meniduri suspek turut ditawarkan syarat supaya hubungan intim dirakam untuk jualan seterusnya.
“Suspek dan dua teman wanitanya juga dikesan melakonkan aksi lucah dalam video seks yang dijual,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya sedang berusaha mengesan wanita lain turut terbabit dalam puluhan rakaman video yang dikesan.
“Polis menemukan semua aksi rakaman suspek melalui rampasan lima telefon bimbit miliknya dan dua teman wanitanya.
“Selain itu, dua kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang digunakan sebagai akaun langganan juga dirampas,” jelasnya.
Katanya, suspek bersama dua teman wanitanya direman selama lima hari oleh Mahkamah Sesyen Jalan Duta di sini bagi siasatan mengikut Seksyen 372 (1)(e) Kanun Keseksaan atas kesalahan mempromosi aktiviti seks untuk mendapatkan keuntungan dan boleh dihukum penjara 19 tahun, sebatan dan denda sekiranya disabitkan kesalahan.
“Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 atas kesalahan menyalahgunakan kemudahan rangkaian telekomunikasi.
“Kes seperti ini adalah yang pertama kali dikesan berlaku di negara ini dan harus dibanteras secara besar-besaran kerana dikhuatiri boleh menyebabkan keruntuhan moral dalam kalangan masyarakat,” katanya. – UTUSAN