PETALING JAYA: mata wang kripto atau wang digital semakin banyak digunakan penjenayah untuk urus niaga membabitkan aktiviti jenayah yang dilakukan mereka.
Antaranya dalam urus niaga penipuan pelaburan, urus niaga dadah, kes samun serta, bayaran jual beli data hasil aktiviti godam serta bayaran wang tebusan kes culik dan bunuh di Filipina.
Bercakap Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penjenayah beranggapan sebarang transaksi menerusi mata wang kripto sukar dikesan.
Bagaimanapun, menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Unit Mata Wang Kripto Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman lebih mudah mengesan pelbagai urus niaga menggunakan mata wang digital tersebut menggunaka teknologi komersial
Beliau berkata, ini kerana kebiasaannya penjenayah akan membuat urus niaga melalui cryptowallet dengan beberapa lapisan transaksi sebelum memindahkan ke exchange (bursa) untuk tujuan mencairkan mata wang kripto kepada bentuk flat sehingga aliran tersebut mudah dikesan dan individu terlibat kemudian boleh dikenal pasti.
“Antaranya kes culik dan bunuh rakyat Malaysia di Filipina apabila PDRM berjaya mengesan pembayaran wang tebusan melalui cryptowallet dan mengenal pasti dalang terlibat. Daripada maklumat tersebut, pihak berkuasa Filipina berjaya menahan suspek-suspek tersebut.
KRIPTO
“Selain itu, kita telah mengesan transaksi mata wang kripto melibatkan warga tempatan yang menjual data peribadi, hasil digodam melalui laman web milik kerajaan,” katanya ketika ditemui di Menara KPJ dekat sini baru-baru ini.
Selain itu, Ramli berkata, analisis unit mata wang kripto turut mendapati hampir 90 peratus jenayah mata wang kripto dikesan melibatkan kes penipuan pelaburan.
Menurut beliau, mangsa terpedaya dengan pelaburan mata wang kripto yang menjanjikan pulangan 100 peratus dalam masa singkat namun akhirnya diperdaya hingga ada yang kerugian jutaan ringgit malah baru-baru ini ada seorang wanita berusia 80 tahun rugi RM10 juta dalam penipuan tersebut.
Katanya, mangsa menyertai skim pelaburan itu selepas dimasukkan ke dalam kumpulan sembang WhatApps yang mempromosikan skim pelaburan menerusi accerx.com sebelum ditipu.
“Sejak 2019 hingga tahun lalu, sebanyak 5,507 kes dicatatkan dengan kerugian kira-kira RM417.3 juta membabitkan penipuan pelaburan mata wang kripto,” katanya.
Menurut beliau, banyak kes-kes penipuan pelaburan dalam talian itu dilakukan menerusi Facebook dan WhatsApp. – UTUSAN










