Kenaikan tarif air bantu tambah baik perkhidmatan buat pengguna

Kenaikan tarif air bantu tambah baik perkhidmatan buat pengguna

IZIZAM IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Peningkatan kadar tarif air menerusi pelarasan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bermula Februari ini akan memberi impak positif khususnya dalam menambah baik infrastruktur perkhidmatan buat pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana negeri, Izizam Ibrahim berkata, menerusi pelarasan tarif itu, kerajaan negeri akan mendapat lebihan hasil bagi membaik pulih paip-paip uzur di samping mengatasi isu tekanan air rendah sekitar Perlis.

Katanya, kerajaan negeri menerusi Syarikat Air Perlis (SAP) sebelum ini terpaksa menanggung kerugian sekitar RM5 ke RM6 juta setahun disebabkan oleh permasalahan perkhidmatan air yang seringkali membelenggu pengguna di negeri ini.

“Dengan kenaikan tarif ini, kita dapat meningkatkan perkhidmatan air kepada pengguna di samping meraih keuntungan antara RM1 hingga RM2 juta setahun.

“Jika diikutkan, kerajaan negeri memerlukan sekitar RM1.8 bilion bagi menyelesaikan isu perkhidmatan air ini antaranya bagi penukaran paip uzur dan beberapa penambahbaikan lain,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan tarif air baharu akan dilaksanakan terhadap pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan mulai 1 Februari depan membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

SPAN berkata, pelarasan tarif air itu dilaksanakan mengikut Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik.

Mengulas lanjut, Izizam berkata, tarif baharu itu sememangnya perlu dilaksanakan memandangkan Perlis tidak pernah menaikkan kadar berkenaan sejak tahun 1996.

“Bagi konteks negeri, kenaikan tarif itu sememangnya amat baik namun kita kena pastikan perkhidmatan sistem air di negeri dapat ditingkatkan.

“Kenaikan tarif ini juga bukan hanya untuk Perlis sahaja namun ia merupakan dasar SPAN untuk diselaraskan satu Malaysia,”

Dalam pada itu, Izizam berkata, isu perkhidmatan air di negeri ini juga dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh 10-15 tahun lagi berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh pihak berkaitan sebelum ini.

Tambahnya, kadar air tak berhasil (NRW) di Perlis juga dijangka akan meningkat kepada tahap 65 peratus pada tahun ini susulan daripada permasalahan perkhidmatan tersebut.

“Kalau kita tak membuat sesuatu berhubung isu ini, kadar NRW di Perlis tidak mustahil boleh meningkat kepada tahap 70 peratus.

“Disebabkan itu, kerajaan negeri akan cuba memohon geran tertentu menerusi SPAN bagi memohon peruntukan khas dalam membantu menyelesaikan isu perkhidmatan air di Perlis secara berperingkat khususnya di kawasan Chuping dan Kuala Perlis,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN