KBS tawar geran RM7 juta baiki saliran, rumput padang - Utusan Malaysia

KBS tawar geran RM7 juta baiki saliran, rumput padang

TUNKU ISMAIL Sultan Ibrahim berkenan menghadiri Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia dan Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Liga Malaysia Musim 2024/2025 di Hotel Emerald, Sunway Big Box, Iskandar Puteri yang turut dihadiri Hannah Yeoh (kiri) dan Ab. Ghani Hassan (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan pemberian geran berjumlah RM7 juta kepada setiap negeri bagi menaik taraf sistem saliran dan penanaman rumput sebagai persediaan menghadapi musim baharu Liga Malaysia.

Menterinya, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, perkara itu menjadi keutumaan setelah perubahan jadual Liga Malaysia dan pasukan akan bermain ketika musim hujan.

Oleh itu, katanya, dengan pemberian geran sebanyak RM500,000 kepada setiap negeri termasuk Wilayah Persekutuan akan membantu pasukan menyediakan venue yang lebih baik dan tidak mengganggu perjalanan liga disebabkan padang banjir.

“Justeru, KBS menawarkan geran berjumlah RM500,000, daripada jumlah itu RM300,000 adalah untuk naik taraf saliran dan selebihnya untuk geran penanaman rumput yang dibayar kepada negeri. 

“Oleh itu, bagi setiap negeri yang mengambil pemberian geran itu perlu menunjukkan komitmen dan mampu melakukan penambahbaikan itu sebelum Liga Malaysia 2024-2025.

“Bagi setiap negeri yang mengambil geran itu, pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berbesar hati untuk mengurniakan sumbangan berjumlah RM300,000 kepada setiap pasukan bagi menampung kos penyelenggaraannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia dan Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Liga Malaysia Musim 2024-2025, di sini hari ini.

Tunku Ismail turut berkenan berangkat ke Mesyuarat berkenaan sebagai tetamu khas dengan diiringi Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab  Ghani Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif, MFL, Stuart Ramalingam.

Pada tahun lalu, KBS menawarkan geran penanaman rumput Zeon Zoysia

berjumlah RM300,000 kepada mana-mana pasukan, namun tidak ada pasukan menerima tawaran itu kerana memikirkan kos penyelenggaraannya.

Hannah Yeoh berkata, hasil perbincangan peringkat awal, rata-rata menyambut baik cadangan tersebut dan meminta pihak kementerian dan MFL melantik seorang pengurus projek untuk semua negeri.

“Pihak KBS dan MFL akan mengadakan perbincangan lanjut dengan setiap Exco kerajaan negeri dalam mesyuarat penyelarasan dalam masa terdekat supaya gerak kerja itu dapat dilaksanakan dalam bulan April ini.

“Dari segi rumput padang, mereka tidak perlu tanam Zeon Zyosia, mereka boleh tanam rumput jenis Bermuda. Ada juga yang sarankan untuk tidak lagi menggunakan Cowgrass.

“Geran ini dikhususkan kepada satu stadium sahaja untuk setiap negeri. Ada isu yang dibangkitkan mengenai pasukan yang berkongsi stadium, ini juga akan dimuktamadkan dalam mesyuarat penyelarasan bersama kerajaan negeri kelak,” katanya.

Tambahnya, penambahbaikan itu diperlukan bagi memastikan kelancaran perjalanan Liga Malaysia musim ini dan tidak ada perlawanan yang tertangguh disebabkan keadaan padang yang bertakung air. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya