KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Syafinaz Selamat menyarankan ibu bapa memantau dan mengawal aktiviti seni anak-anak yang berstatus bawah umur.
Kata beliau, tindakan itu perlu agar anak-anak mereka tidak dimanipulasi dan dieksploitasi untuk kepentingan pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
“Mereka tetap kanak-kanak yang perlu ke sekolah dan menikmati dunia kanak-kanak mereka. Tidak ada masalah untuk ibu bapa benarkan mereka bekerja dalam dunia seni pada usia muda, cuma perlu ada pemantauan dan kawalan.
“Saya tidak nafikan ada ibu bapa yang terlalu mengerah kerana mereka mahu anak-anak mereka glamor sampai mengabaikan pelajaran dan sebagainya. Ini salah sebenarnya.
“Jadi ibu bapa kena bertanggungjawab, tetapkan apa yang boleh dan tidak untuk anak-anak mereka lakukan, berapa tawaran nyanyian yang patut mereka persetujui untuk anak-anak dan sebagainya.
“Kalau ibu bapa mainkan peranan, isu buruh kanak-kanak dalam industri seni tak akan wujud,” katanya yang ditemui pada sidang media Bintang RTM baru-baru ini.
Beliau diminta mengulas tentang isu buruh kanak-kanak yang wujud dalam dunia seni tanah air.
Dalam masa yang sama, penyanyi yang sering menjurikan program nyanyian itu juga menyarankan kepada ibu bapa agar memberi pendedahan seni kepada anak-anak pada usia muda.
Katanya, tindakan itu adalah sihat dan bagus untuk perkembangan minat di awal usia. – UTUSAN










