PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah merakam percakapan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berkaitan kenyataan beliau yang didakwa cubaan campur tangan hal ehwal agama Islam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan tersebut.
“Kita telah memanggil seramai 66 saksi bagi membantu siasatan. Ia termasuk keterangan pengadu yang membuat laporan serta pihak media yang terlibat.
“Setakat ini tiada individu lain yang disiasat melainkan saksi yang ada kaitan dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, sehingga hari ini, sebanyak 70 laporan polis diterima di seluruh negara berkaitan kes tersebut.
Kata Shuhaily, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan masih dilengkapkan.
Pada 4 Januari, Bukit Aman mengesahkan menyiasat dua individu yang mengeluarkan kenyataan sensitif dan seolah-olah ada cubaan campur tangan dalam isu hal ehwal agama Islam.
Pada 30 Disember lalu, Koo Ham dilaporkan memohon maaf selepas mencadangkan agar pakar perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
Ahli Parlimen Beruas DAP itu berkata, beliau tidak berniat campur dalam hal ehwal agama Islam dengan membuat cadangan itu yang kemudian ditarik balik.
Susulan itu, Sultan Selangor selaku Pengerusi MKI bertitah mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam supaya menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.- UTUSAN