Felda perlu kekal identiti JKKR - Utusan Malaysia

Felda perlu kekal identiti JKKR

Felda perlu kekal identiti JKKR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Semua 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara perlu kekal dengan identiti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) dan tidak perlu ada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, Felda harus melihat isu ini secara positif dan jangan ambil mudah kesan terhadap institusi terbabit terutama dalam jangka masa panjang.

“Dengan adanya JPKK, maka akan wujud isu untuk melantik pengerusi JPKK, rata-rata akan wujud tiga ketua dalam satu Felda. Pertama, Timbalan Pengerusi JKKR; kedua, Pengerusi JKKR iaitu pengurus Felda dan ketiga adalah pengerusi JPKK.

“Jadi, adalah lebih baik Felda kekalkan JKKR, lantikan dari ketua blok rancangan sahaja atau pentadbir tanah pusaka, berbeza dengan JPKK dilantik oleh wakil rakyat.

“Suasana lebih daripada seorang ketua di rancangan Felda perlu diperbetulkan segera, jika ini tidak diperbetulkan akan terus memecahbelahkan masyarakat dalam rancangan Felda kepada pengikut JKKR dan pengikut JPKK, ini belum lagi pengikut parti-parti politik,” katanya di sini semalam.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan keputusan Felda untuk mewujudkan kembali JKKR di 317 tanah rancangan seluruh negara me­nimbulkan polemik dalam ka­la­ngan warganya.

Ini kerana kebanyakan ta­nah rancangan sudah menye­lesaikan hutang bayaran pem­bangunan dan mendapat su­ratan hak milik tanah serta sudah menubuhkan JPKK.

MENTADBIR

Apa dibimbangi mereka, penubuhan kembali JKKR di samping JPKK bagi mentadbir kampung akan mewujudkan perbezaan pendapat iiatu se­perti ‘kapal dua nakhoda’.

Sementara itu, Presiden Per­tubuhan Kami Anak Felda (KAF), Datuk Amizar Abu Adam berkata, penubuhan JKKR dan JPKK tertakluk kepada dasar kerajaan Pusat dan negeri sama ada boleh diguna pakai kedua-duanya ataupun sebaliknya.

Namun, katanya, fungsi sebenar dua jawatankuasa itu perlu difahami oleh kepimpinan yang dilantik iaitu fungsi kampung mahupun Felda.

“Pada akhirnya adalah membantu pihak kerajaan menangani dan menyelesaikan isu-isu masyarakat dan pembangunan di setiap kawasan dengan baik dan tersusun memandangkan ia adalah pimpinan kampung tersebut.

“Bagaimanapun, timbul ma­salah akan ada dua nakhoda dalam satu rancangan sama ada pelaksanaan tanggungjawab yang bertindan, malah akan berlaku salah menyalah mahupun cubaan sabotaj di antara satu sama lain.

“Ini boleh menyebabkan perpecahan dalam kampung. Jadi adalah wajar pihak kerajaan menetapkan satu dasar yang boleh diguna pakai oleh semua kampung memandang­kan sistem jawatankuasa ini adalah tertakluk kepada kelulusan dasar kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×