PETALING JAYA: Enam suspek kes bunuh seorang lelaki yang mayatnya ditanam dalam belukar di Sungai Choh, Rawang pada 23 Disember lalu didakwa di mahkamah hari ini.
Lima suspek tersebut akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh manakala seorang lagi di bawah Seksyen 201 KK dibaca bersama Seksyen 34 KK, iaitu kesalahan melupuskan barang bukti manakala seorang lagi suspek dituduh bagi kedua-dua kesalahan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Gombak menahan lapan suspek terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita berusia 19 tahun hingga 46 tahun.
Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama 13 hari bermula 24 Disember hingga 5 Januari ini.
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor dan mendapat arahan tuduh ke atas enam suspek.
“Dua lagi dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan. Kesemua suspek dituduh di Mahkamah Selayang hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya; motif kejadian kerana tidak puas hati berkaitan penyebaran gambar bogel rakan suspek oleh mangsa.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang telah menyalurkan maklumat kepada pihak polis sehingga berjaya menangkap suspek yang terlibat dalam kes ini,” katanya.
Pada 23 Disember lalu, seorang lelaki tempatan dipercayai dibunuh dan ditanam dalam belukar di Sungai Choh oleh beberapa individu.
Kegiatan mereka terbongkar apabila seorang pengadu mendakwa bunyi pergaduhan di rumah jiran pada 11 pagi.
Noor Ariffin berkata, pengadu kemudian terdengar perbualan antara suaminya dengan abang ipar yang meminta tolong untuk menanam satu mayat pada pukul 5 petang, hari sama.
Jelasnya, hasil siasatan awal menemukan mayat seorang lelaki tanpa pengenalan diri yang ditanam dalam lubang di dalam belukar. – UTUSAN










