Dua beranak cedera motosikal terbabas dikejar anjing

Dua beranak cedera motosikal terbabas dikejar anjing

SAARI Mohamad Nordin menunjukkan kecederaan dialaminya setelah motosikal dinaiki terbabas ke dalam longkang akibat dikejar anjing liar dalam kejadian di Taman Desa Puteri, Bahau, Jempol.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Dua beranak cedera selepas motosikal yang ditunggang mereka terbabas ke dalam longkang akibat dikejar anjing liar di Taman Desa Puteri, Bahau, di sini, semalam.

Kejadian pukul 10.45 pagi berlaku ketika Saari Mohamad Nordin, 62, yang bekerja sebagai tukang rumah dan Mohamad Halis Azuan, 22, dalam perjalanan ke tempat kerja dengan membawa besi tiang pagar.

Saari berkata, pada mulanya seekor anjing liar menyalak sebelum muncul empat ekor lagi mengejar motosikal ditunggang mereka.

“Dalam keadan kelam-kabut mahu mengelak anjing, motosikal ditunggang terbabas dan masuk ke dalam longkang berhampiran.

“Anak saya pula jatuh di atas jalan. Saya cedera di bahagian lengan kanan dan kaki manakala anak pula cedera pada muka kerana ditimpa besi tiang pagar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

RAWATAN

Menurutnya, dia dan anak­nya kemudian mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bahau.

“Saya harap pihak berkaitan dapat mengatasi masalah anjing liar yang banyak di taman perumahan ini, sebelum berlaku kejadian lebih buruk,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol (MPJL), Raja Norazli Raja Nordin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kes anjing liar di Taman Desa Puteri itu.

“Hasil maklumat yang di­terima, anjing tersebut adalah haiwan liar yang berkeliaran di kawasan itu.

“Kes ini akan dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Jempol untuk tindakan lanjut. MPJL sebelum ini sudah menerima empat aduan berhubung anjing terbiar di lokasi ber­kenaan.

“Sebanyak empat operasi menangkap anjing liar sudah dijalankan dengan operasi ter­akhir­ pada 9 Oktober tahun lalu dan sepanjang operasi itu sebanyak 13 ekor anjing terbiar ditangkap,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya