Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipercayai akan membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung pemberian projek kepada individu tertentu termasuk melaksanakan dua program di bawah pentadbirannya sebelum ini.
Satu sumber mengesahkan kepada Utusan Malaysia, keterangan bekas pemimpin itu akan diambil kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Katanya, siasatan SPRM terhadap beliau turut memfokuskan kekayaan dimilikinya termasuk ahli keluarganya.
“SPRM juga dipercayai telah pun merakam keterangan pembantu yang mempunyai hubung kait dengan beliau sebelum ini.
“Namun, SPRM sekali lagi akan mengambil keterangannya termasuk ahli keluarganya yang dipercayai ketika ini berada di Sabah bagi membantu siasatan SPRM,” katanya di sini.
Kata sumber itu, siasatan akan dilakukan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya akan memanggil seorang bekas Perdana Menteri minggu ini bagi memberi keterangan berhubung penggunaan wang sebanyak RM700 juta bagi tujuan publisiti kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022.
Sementara itu, SPRM juga akan mengambil keterangan daripada isteri dan anak kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin hari ini.
Kata sumber itu, keterangan mereka diperlukan bagi melengkapkan siasatan selepas siasatan SPRM mendapati pemilik kepada Menara Ilham yang disita agensi tersebut adalah sebuah syarikat yang dimiliki oleh isteri dan anak kepada Daim.
“Mereka akan hadir diambil keterangan hari ini bagi siasatan lanjut,” katanya secara ringkas.
Utusan Malaysia pada laporan 24 Disember tahun lalu mendedahkan siasatan yang dijalankan SPRM terhadap tokoh konglomerat terkenal itu menjurus kepada bagaimana pembelian-pembelian aset dan perniagaan miliknya diperoleh. – UTUSAN










