SEPANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil seorang bekas Perdana Menteri minggu ini bagi memberi keterangan berhubung skandal dana publisiti kerajaan bernilai RM700 juta bagi tempoh 2020 hingga 2022.
Tanpa menamakan bekas Perdana Menteri mana, Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, tokoh kenamaan itu akan dipanggil dalam masa terdekat.
“Paling terdekat minggu ini atau selewat-lewatnya minggu depan,” katanya pada Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024 di sini semalam.
Azam berkata, setakat ini siasatan agensi itu mengesahkan hanya seorang dahulu bekas Perdan Menteri akan dipanggil dan mungkin turut dipanggil empat lagi individu lain.
Beliau juga mengesahkan sudah memanggil beberapa pihak pengurusan syarikat yang terbabit dalam skandal dana publisiti kerajaan itu.
“Siasatan dibuat bagi mengenal pasti bagaimana dana publisiti bernilai RM700 juta itu dibelanjakan.
DANA
“Kami tidak begitu mempersoalkan bagaimana dana itu diputuskan dan diluluskan tetapi bagaimana ia (dana) dibelanjakan dan syarikat mana yang dapat,” katanya.
Katanya, ia (siasatan) adalah prosedur biasa untuk mengetahui bagaimana dana publisiti itu dibelanjakan.
Azam berkata, sekiranya wujud dakwaan dan isu maka, ia sudah menjadi tugas SPRM untuk melakukan siasatan.
Pada 2 Januari lalu, SPRM mengesahkan telah memulakan siasatan berhubung isu membabitkan penggunaan wang sebanyak RM700 juta yang dibelanjakan bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan ketika itu.
Siasatan awal SPRM mendapati dana RM200 juta telah diperuntukkan kepada sembilan syarikat dan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan promosi dan publisiti dua program di bawah pentadbiran dua Perdana Menteri sebelum ini.
Sembilan syarikat dan NGO berkonsepkan Islam itu dipercayai telah dilantik oleh sebuah agensi di bawah JPM bagi melaksanakan dua program di bawah dua pentadbiran sebelum ini.
Secara keseluruhan, 14 syarikat dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikesan menerima dana antara RM5 juta sehingga RM50 juta menerusi dana publisiti itu.- UTUSAN










