Beri peluang 70 peratus anak tempatan bekerja di kilang peluru di Kechau - Utusan Malaysia

Beri peluang 70 peratus anak tempatan bekerja di kilang peluru di Kechau

Abdul Rahman Mohamad (dua dari kiri) diberi penerangan oleh pihak pengurusan mengenai pembinaan fasa pertama Kilang Peluru Ketech Asia Sdn Bhd ketika melawat kilang tersebut di Kechau, Lipis hari ini. - HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS : Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memohon pihak pengurusan Kilang Peluru Ketech Asia Sdn Bhd di Kechau yang terletak 35 kilometer dekat sini memberikan peluang 70 peratus anak tempatan Lipis bekerja di kilang tersebut yang bakal beroperasi tidak lama lagi.

Menurut beliau, sehingga ini sebagai persediaan bagi kilang berkenaan memulakan pengoperasian tidak lama lagi seramai 15 orang lulusan kejuruteraan dan teknikal yang merupakan anak tempatan daerah ini telahpun dihantar oleh pihak pengurusan tersebut menjalani kursus di negara Turkiye mengenai industri pembuatan peralatan pertahanan secara berperingkat.

“Jurutera yang terlatih ini merupakan aset penting bakal melatih pekerja baharu yang juga anak tempatan dan luar secara profesional melibatkan aspek perkilangan, iaitu penggunaan peralatan, penyelenggaraan, pengurusan  pengeluaran dan sebagainya.

“Hal ini merupakan petanda yang sihat kerana sudah tentu banyak peluang pekerjaan dalam kalangan anak tempatan Lipis. Apa saya harapkan lepasan siswazah bidang teknikal dan kejuruteraan bersedia melamar pekerjaan di sini di samping latihan yang bakal disediakan oleh pihak pengurusan,” katanya kepada pemberita ketika melawat Kilang Peluru di Kechau, Padang Tengku dekat sini hari ini.

Menurut Abdul Rahman, kilang tersebut akan menawarkan pekerjaan antara 1,500 hingga 2,000 orang dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, teknikal, pengurus pengeluaran, pengurusan pejabat, kerani, bahagian keselamatan dan sebagainya.

Katanya, kilang itu dibina tiga fasa, iaitu setiap fasa melibatkan peruntukan RM400 juta dan keseluruhannya projek itu menelan peruntukan RM1.2 bilion.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis selanjutnya berkata, pembukaan kilang tersebut yang berdekatan dengan jalan raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang dahulunya dikenali Central Spine Road antara Lembah Kelang, Bentong, Raub, Lipis hingga ke Kelantan sekali gus dapat menjenamakan Bandar Kuala Lipis sebagai ‘Bandar Pertahanan’ tidak lama lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN