GEORGE TOWN: Kerajaan diminta berhenti bermain ‘wayang politik’ jika benar-benar ingin membantu rakyat untuk keluar daripada ‘belenggu’ peningkatan kos sara hidup akibat kenaikan harga barang dan perkhidmatan ketika ini.
Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, bantuan tersebut ketika ini tidak bersifat menyeluruh dan tidak semua rakyat mendapat manfaat daripada pelbagai bentuk bantuan jangka pendek yang telah diberikan oleh kerajaan.
Justeru, beliau berharap satu kaedah penyelesaian ekonomi jangka panjang difikirkan kerana isu peningkatan kos sara hidup seperti sudah ‘sebati’ dengan rakyat dan dilihat berterusan dari setahun ke setahun.
Kata beliau, ketika ini, rakyat bukan sahaja berdepan dengan isu kenaikan harga barang, malah terpaksa menghadapi kenaikan harga bahan api.
Selain itu, kata beliau, apabila cukai perkhidmatan sebanyak lapan peratus dikuatkuasakan tidak lama lagi, ia akan terus menekan rakyat.
“Saya berpendapat, bantuan SARA (Program Sumbangan Asas Rahmah) yang diberikan sebagai contoh adalah terlalu sedikit dan hanya boleh dimanfaatkan oleh kumpulan tertentu sahaja (B40) sedangkan semua rakyat termasuk golongan M40 (berpendapatan sederhana) terutamanya yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang juga terkesan.
“Kalau kita tengok balik, kos sara hidup ini hampir setiap bulan akan naik. Bulan depan nak raya (Tahun Baharu Cina), kemudian tarif (air) pula naik, sekolah buka (sesi persekolahan baharu) dan sebagainya.
“Jadi, saya rasa tahun 2024 ini sangat susah dan mencabar buat rakyat Malaysia. Sekarang pun sudah terasa bahang (kenaikan kos sara hidup) tapi gaji tak naik-naik. Kalau naik pun, dalam RM100 atau lebih-lebih sikit dan itu masih tak cukup,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu kerajaan mengumumkan program SARA yang bermula hari ini dijangka mampu memanfaatkan lebih 700,000 penerima di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM700 juta berbanding tahun 2023, iaitu hanya 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta. – UTUSAN